Tempatan

Masjid tertua di Sarawak akan dibuka penghujung Ramadan ini

SIBU: Masjid tertua di Sarawak berusia 161 tahun iaitu Masjid Al-Qadim di sini, dijangka akan mula dibuka semula bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat tarawih berjemaah, pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee berkata masjid yang baru sahaja dibaik pulih itu, telah dibina oleh seorang ulama Indonesia yang datang berdakwah ke Sibu dengan kerjasama masyarakat Islam di Kampung Nyabor pada tahun 1861, dan mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.

Menurutnya, kali terakhir masyarakat Islam menunaikan solat tarawih berjemaah dan solat wajib lima waktu di masjid bersejarah itu adalah pada lima tahun lalu, iaitu sebelum masjid itu ditutup sementara untuk memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih.

“Sudah semestinya masyarakat Islam di bandar ini, termasuk anak-anak Sibu yang sudah lama berada di perantauan amat teruja menunaikan solat tarawih di masjid bersejarah ini. Kos keseluruhan kerja baik pulih dan mengembalikan reka bentuk asal Masjid Al-Qadim ini, ialah kira-kira RM2.2 juta.

“Saya pelawa masyarakat Islam dan anak-anak Sibu yang sudah lama di perantauan, untuk balik kampung dan menunaikan solat tarawih di Masjid Al-Qadim pada bulan Ramadan tahun ini,” katanya kepada pemberita semasa meninjau kerja-kerja baik pulih masjid tersebut di sini, hari ini.

Dr Annuar juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata umat Islam juga boleh menunaikan solat sunat tarawih berjemaah dengan selesa, kerana masjid itu dilengkapi dengan penghawa dingin sepenuhnya.

Katanya beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan, untuk menentukan tarikh sebenar masjid itu boleh dibuka sepenuhnya.

Sementara itu, beliau berkata masjid itu juga akan dijadikan sebagai tarikan pelancong di bandar Sibu.-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *