Tempatan Media baharu: Media konvensional jangan rasa terancam, belajar adaptasi

Media baharu: Media konvensional jangan rasa terancam, belajar adaptasi

20

KUCHING: Pengamal media konvensional tidak harus berasa terancam dengan kemunculan media baharu sebaliknya perlu belajar untuk mengadaptasi seiring dengan perkembangan semasa.

Penasihat Editorial (Politik) Utusan Sarawak William Chan berkata buat masa ini, media konvensional seperti akhbar sedang diasak dengan begitu hebat oleh perubahan yang dibawa oleh teknologi dan digitalisasi.

Beliau berkata ini merupakan evolusi kewartawanan dan penggiat media konvensional harus segera belajar menyesuaikan diri.

“Keadaan agak suram ketika ini (bagi media konvensional). Tabiat pengguna dalam mendapatkan berita sudah berubah.

“Mereka lebih gemar mendapatkannya dengan lebih pantas, tiada lagi tunggu dan baca akhbar pada waktu pagi.

“Daripada berasa terancam, sesuaikan diri dengan perubahan dan timba ilmu baharu ini sedalam mungkin,” katanya ketika menjadi ahli panel Seminar dan Bengkel Kewartawanan 2022 anjuran Pewarta (Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching) di sini pada Ahad.

Bertemakan ‘Pertemuan Minda: Bagaimana memajukan kewartawanan dan industri akhbar di Sarawak,’ bengkel itu turut menampilkan wartawan veteran Toman Mamora dan James Ritchie.

William juga berkata dunia kewartawanan kini amat berbeza jika dibandingkan dengan waktu beliau memulakan kerjaya pada 1989 terutama dari segi penghantaran berita.

“Ketika saya memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan pada 1989 di Miri, masa itu pemberita masih guna mesin taip dan selepas selesai menyiapkan berita, kita akan cetak dan hantar kepada staf kita di lapangan terbang untuk menghantar berita tersebut.

“Akhbar kini dicetak di dalam halaman yang lebih sedikit berbanding dulu yang lebih tebal, sekarang makin nipis.

“Hal ini disebabkan laman sesawang berita yang semakin berkembang,” katanya.-BERNAMA

Previous articleSekuel “Doctor Strange and the Multiverse of Madness” raih kutipan pecah panggung AS$185 juta
Next articleLebih 100,000 rakyat Malaysia hadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PM dan Jemaah Menteri 2022
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here