KUALA LUMPUR: Media perlu mendidik masyarakat dengan berkongsi ilmu dan maklumat tepat supaya seluruh Keluarga Malaysia dapat memahami usaha kerajaan menangani pelbagai isu ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata semua kementerian dan agensi kerajaan sentiasa memberi kerjasama kepada media dalam membantu memudahkan penyaluran maklumat yang seimbang, sahih dan memuaskan hati.
Perdana Menteri berkata adakalanya laporan berita dijadikan panduan oleh pihak berwajib untuk mengambil tindakan susulan seperti menyalurkan bantuan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Kerajaan sentiasa mendengar dan prihatin terhadap laporan yang dibangkitkan media,” menurutnya dalam hantaran di laman Facebook.
Ismail Sabri turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Berita Harian sempena Ulang Tahun ke-65 yang disambut akhbar itu hari ini.
Beliau juga berharap akhbar itu akan terus berkembang selain menyiarkan berita serta laporan yang tepat dan adil serta membantu kerajaan membangun dan memajukan negara demi Keluarga Malaysia.-BERNAMA