Tempatan

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 diadakan selama tiga hari

KUCHING: Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 akan diadakan selama tiga hari sahaja bermula dari 14 hingga 16 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam sidang media di Bilik Media Bangunan DUN Sarawak pada Sabtu.

Menurutnya, keputusan tersebut adalah bagi mematuhi keperluan seperti yang termaktub dalam Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak yang menetapkan bahawa, setiap kali DUN yang baharu hendaklah dipanggil bermesyuarat pada tarikh tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran.

“Justeru, untuk persidangan kali ini tiada upacara perasmian oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Namun begitu, ucapan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak akan diadakan kemudian pada tarikh yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi persidangan kali ini, tiada sesi soal jawab di dalam Dewan dan tiada sesi penggulungan oleh menteri-menteri.

Walaubagaimanapun, terdapat lima Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan akan dibentangkan oleh menteri-menteri pada persidangan kali ini.

RUU berkenaan adalah RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022 yang akan dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dua lagi RUU iaitu RUU Lembaga Kemajuan Sagu Dan Nipah, 2022 dan RUU Lembaga Perindustrian Getah Sarawak 2022 akan dibentangkan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurut Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia, bacaan pertama bagi kesemua RUU tersebut akan dilakukan pada hari kedua persidangan iaitu pada Selasa, 15 Februari 2022.

Katanya, bacaan kedua dan ketiga untuk RUU (Pindaan) Perlembagaan Negeri Sarawak 2022 dan RUU Tafsiran (Pindaan) 2022 juga akan dilakukan pada Selasa.

Manakala bacaan kedua dan ketiga untuk RUU Perbekalan Tambahan (2021), 2022, RUU Lembaga Kemajuan Sagu Dan Nipah, 2022 dan RUU Lembaga Perindustrian Getah Sarawak 2022 akan dilakukan pada Rabu, 16 Februari 2022.

Jelasnya lagi, Prosedur Operasi Standard (SOP) akan sentiasa dipatuhi sepanjang persidangan DUN kali ini.

Turut hadir Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato’ Idris Buang dan Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *