Dunia

Meta padam ribuan akaun Facebook palsu sebar kandungan politik di China

WASHINGTON: Meta mendakwa terdapat pihak di China membuka ribuan akaun media sosial palsu Facebook bagi menyebarkan kandungan politik bertujuan memecah belahkan negara menjelang pilihan raya tahun depan.

Katanya, ia direka untuk kelihatan seperti dibuka oleh orang Amerika Syarikat (AS) dan digunakan untuk mencetuskan polarisasi dalam kalangan rakyat serta memecah-belahkan mereka menjelang pemilihan Presiden AS tahun depan.

Hampir 4,800 akaun palsu dikenal pasti dan dihapuskan oleh syarikat teknologi yang memiliki Facebook serta Instagram itu.

Akaun itu memaparkan gambar, nama dan lokasi palsu sebagai cara untuk kelihatan seperti pengguna Facebook warga AS, dengan kandungan memaparkan pelbagai isu politik.

Berbeza dengan kaedah menyebarkan kandungan palsu seperti yang dilakukan oleh rangkaian lain, akaun terbabit diguna untuk berkongsi semula siaran daripada X, yang mulanya dicipta oleh ahli politik, saluran berita dan lain-lain sumber.

Akaunnya adalah saling berkaitan dan menarik kandungannya, baik daripada sumber liberal mahupun konservatif, menunjukkan bahawa matlamatnya bukan untuk sokong mana-mana pihak, sebaliknya menyemarakkan perpecahan partisan dan polarisasi.

Rangkaian yang baru dikenal pasti menunjukkan bagaimana musuh asing AS mengeksploitasi platform teknologi yang berpangkalan di AS itu, dengan niat menyemai perselisihan dan rasa tidak percaya.

Malah, ia membayangkan ancaman serius yang ditimbulkan hasil daripada maklumat salah dalam talian pada tahun depan, apabila pilihan raya kebangsaan bakal diadakan di AS, India, Mexico, Ukraine, Pakistan, Taiwan dan negara-negara lain.

“Akaun itu masih bergelut untuk membina ikutan di khalayak umum, tetapi ia adalah amaran jelas bahawa manipulasi seumpamanya sudah bermula.

“Ancaman asing cuba mencapai orang ramai di seluruh alam Internet menjelang pilihan raya tahun depan, dan kami perlu terus berwaspada,” kata Ben Nimmo, yang mengetuai penyiasatan ke atas tingkah laku tidak sah pada platform Meta.

Meta Platforms Inc., yang berpangkalan di Menlo Park, California, ketika ini tidak mengaitkan rangkaian di China secara terbuka kepada kerajaan China, tetapi mengesahkan akaun itu berasal dari negara berkenaan.

Kandungan yang disebarkan oleh akaun itu secara meluas turut mengandungi propaganda kerajaan China dan maklumat salah yang berusaha untuk meningkatkan perpecahan partisan serta ideologi dalam kalangan penduduk AS.

Untuk kelihatan seperti akaun Facebook biasa, rangkaian itu kadangkala menyiarkan berita mengenai fesyen atau haiwan peliharaan sebelum menyentuh isu politik partisan.

Awal tahun ini, beberapa akaun secara tiba-tiba menggantikan nama pengguna dan gambar profil mereka untuk kelihatan seperti pengguna di AS dan terbaru, ada yang menyatakan mereka tinggal di India.

Meta sering berusaha untuk menutup rangkaian media sosial palsu sebagai bukti komitmennya untuk melindungi integriti dan demokrasi pilihan raya.

Namun, pengkritik berkata tumpuan platform pada akaun palsu adalah untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalannya menangani maklumat salah yang menyumbang kepada polarisasi dan kesangsian.

Apabila ditanya mengenai dasar iklannya, syarikat itu berkata, pada pilihan raya akan datang, ia akan menolak iklan yang menimbulkan keraguan tidak berasas berkaitan pemilihan berkenaan. – AGENSI

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknewsofficial/

Tiktok: https://www.tiktok.com/@sarawaknews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *