Nasional

Minggu pertama dewan dipenuhi isu rasuah, kesihatan, kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat Penggal Kelima bermula minggu ini, dan sepanjang minggu pertama persidangan, isu rasuah, kesihatan dan kebajikan rakyat di samping banjir menjadi antara isu ‘hangat’ yang disentuh Ahli Parlimen.

Perkara yang disentuh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14 itu nyata mencuri tumpuan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, baik pada sesi soal jawab mahupun bahas.

Seri Paduka bertitah baginda memandang serius isu rasuah yang di negara ini dan perkara itu perlu ditangani dalam membina sebuah negara bangsa yang telus dan berintegriti, selain turut menegur ahli politik supaya fokus kepada kepentingan rakyat berbanding berpolitik ‘siang dan malam’.

Titah Seri Paduka mengenai rasuah itu ternyata mendapat perhatian apabila pada hari pertama lagi persidangan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi soal jawab, menyatakan komitmen bahawa kerajaan tidak melindungi mana-mana individu yang terbabit rasuah.

Dua kali Perdana Menteri mengulangi kenyataan itu dan berkata, individu yang terlibat rasuah sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan dihadapkan ke mahkamah, seterusnya mahkamah akan menentukan sekiranya pihak berkenaan bersalah.

Komitmen itu disokong dengan jaminan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika menggulung usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada sesi Kamar Khas.

Mas Ermieyati berkata, kerajaan akan menyiasat sedalam-dalamnya kes penyelewengan membabitkan skandal syarikat pelaburan strategik itu melalui semua agensi berkaitan.

Seramai 47 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada minggu pertama perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja dan selain rasuah, rata-rata mereka menyentuh isu COVID-19 termasuk kenaikan harga kit ujian PCR dan RTK-Ag dan menuntut kerajaan mengambil langkah menetapkan harga siling supaya tidak membebankan rakyat.

Selain itu, isu capaian vaksin terutama kepada golongan kanak-kanak juga disentuh, termasuk cadangan mempercepatkan proses itu berikutan golongan berkenaan terdedah kepada penularan varian Omicron.

Begitu juga isu banjir yang masih menjadi perhatian ahli dewan, antaranya berkaitan bantuan dan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah bencana itu di seluruh negara.

Tidak ketinggalan disentuh, isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup akibat impak COVID-19.

Turut mencuri perhatian minggu ini ialah pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang pada awalnya terdapat dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini.

Pemilihan itu bagaimanapun, ditangguh ke persidangan akan datang, kali ketiga perkara itu tertangguh.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Mohd Nor yang disebut-sebut antara yang dinamakan sebagai calon untuk jawatan itu dilihat mempengerusikan mesyuarat secara sementara mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3).

Menurut Peraturan Mesyuarat 7 (3) pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Yang Dipertua boleh meminta seseorang ahli dewan mempengerusikan mesyuarat sementara dengan tidak perlu diberitahu Majlis Mesyuarat, dan ahli yang mempengerusikan itu, terserah kepadanya semua kuasa Yang Dipertua sehingga Yang Dipertua balik semula mengetuakan mesyuarat.

Ramli, pada hari kedua perbahasan mengarahkan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dewan dan digantung sehari selepas Ahli Parlimen itu beberapa kali diberi teguran supaya duduk ketika mencelah semasa Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) berbahas.

Persidangan kali kedua di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri berlangsung selama 16 hari bermula 28 Feb sehingga 24 Mac, dan seperti sebelum ini ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai usaha meminimumkan risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen.

Ahli Parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tiga hari sebelum persidangan dan ujian RTK-Ag air liur diadakan dua kali seminggu sepanjang persidangan berlangsung.-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *