GEDONG: Projek pembangunan Masterplan Mini Isthmus bakal mengubah landskap Gedong setelah ia siap kelak, demikian kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, projek itu meliputi pejabat kerajaan, klinik kesihatan dan pusat komersial yang akan membawa limpahan pembangunan sekali gus meransang pendapatan penduduk setempat.
“Kita akan bangunkan Isthmus seperti yang ada di Kuching seperti Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang dibangunkan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud semasa beliau menjadi Ketua Menteri dulu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan bagi Projek Mini Isthmus Gedong, pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menegaskan kerajaan Sarawak menerusi pimpinannya komited untuk membangunkan Gedong dan sekitarnya.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Mohammad Zunica Mohammad Sapi’ee berkata, Projek Isthmus Gedong ini telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 15 Jun 2022.
“Projek ini diluluskan dibawah Seksyen 48 & 5 (3) dan (4) Kanun Tanah Negeri telah diluluskan pada 30 September 2022 dengan keluasan tapak sejumlah 126.14 hektar bersamaan dengan 311.7 ekar,” ujarnya lagi.
Projek tersebut akan menyediakan pelbagai kemudahan yang berkualiti seperti kemudahan awam melibatkan penyediaan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, komersial, kediaman termasuk peluang pekerjaan.