Nasional Rencana

Mogok tidak selesaikan masalah, rakyat terganggu

SEREMBAN: CUEPACS menganggap tindakan mogok oleh mana-mana kakitangan awam tidak mendatangkan sebarang faedah.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata sebaliknya semua penjawat awam termasuk petugas di sektor kesihatan perlu kekal fokus melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, setiap permasalahan yang timbul tidak wajar diterjemahkan dengan tindakan yang boleh menjejaskan tugas di sektor masing-masing.

“Tindakan mogok tidak menyelesaikan sebarang permasalahan bahkan boleh mengakibatkan lebih banyak masalah terutama kepada rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik daripada kita sebagai penjawat awam.

“Kegagalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam sudah tentu akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap penjawat awam dan kerajaan,”katanya dalam satu kenyataan.

Ada desas-desus akan berlangsung mogok doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini dan laman Instagram DoctorsMalaysia menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Ketua Pengarah Kasihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dipetik berkata mogok secara tidak terancang bukan suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap sebarang permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana profesional lain.

Dalam pada itu, Adnan berkata CEUPACS menolak sebarang usaha untuk meminda Akta Pencen 1980 bagi membolehkan pelantikan kakitangan awam ke jawatan tetap diberikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, pihaknya bimbang pindaan kepada Akta Pencen 1980 akan memberi kesan kepada semua penjawat awam kerana mereka tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap berpencen.

Katanya, perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada memilih skim pencen atau KWSP.

“Sebarang pindaan ke atas Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak mengurangkan apa-apa faedah yang diterima oleh penjawat awam pada ketika ini.

“Kami berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut melibatkan CUEPACS dalam perbincangan bagi menyelesaikan isu doktor kontrak ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, KKM sedang mengadakan perbincangan dengan JPA untuk menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa pencen.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata ini bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.

Mengulas lanjut, Adnan berkata pihaknya berpandangan kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pegawai perubatan sahaja dalam soal kakitangan berstatus kontrak dalam KKM.

Beliau berkata, terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam KKM dan juga kementerian lain yang berstatus kontrak dan menunggu masa untuk penamatan khidmat.

“Di KKM sendiri selain pegawai kesihatan berstatus kontrak, terdapat perjawatan lain yang kritikal masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.

“Mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan.

“Sejak sekian lama CUEPACS berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam sektor kesihatan tidak sepatutnya diamalkan,” katanya.-BERITA HARIAN

Exit mobile version