Nasional

MOTS – Southern China Airlines bincang penerbangan terus Sarawak-China

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) mengadakan perbincangan dengan syarikat Southern China Airlines bagi mengadakan penerbangan terus antara China dan Sarawak, khususnya antara SHENGZHEN atau Guangzhou dan Kuching tahun depan.

Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin menjelaskan,  ia berikutan peningkatan jumlah pelaburan dan perniagaan China di Sarawak serta aktiviti pelancongan selepas pandemik COVID-19.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan permintaan daripada komuniti perniagaan tempatan dan China untuk sambungan udara terus antara China dan Sarawak.

“Ahli perniagaan, pengusaha pelancongan dan usahawan China menegaskan bahawa ketiadaan sambungan udara terus antara China dan Sarawak telah menyebabkan kesulitan untuk perjalanan mereka.

“Mereka mengambil masa hampir sehari untuk sampai ke Kuching dari QuanZhou, Shangai atau Beijing.

“Masa menunggu yang lama antara penerbangan transit telah mengambil terlalu banyak masa berharga mereka. Bagi mereka, masa adalah wang,” katanya dalam satu kenyataan pada  Jumaat.

Lee telah mengetuai delegasinya yang dianggotai oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan Raya) Datuk Dr Jerip Susil, Penasihat Teknikal Penerbangan Dr. Sio Yew Hua, dan Ketua Penerbangan MOTS Zulkarnain Rosli ke syarikat berkenaan di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Selain itu, Lee juga memaklumkan, delegasi telah dijemput untuk melawat ibu pejabat syarikat penerbangan tersebut di Guangzhou dan Datuk Bandar Kerajaan Perbandaran Guangzhou untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pengukuhan kerjasama dan sokongan untuk sambungan udara antara kedua-dua bandar.

“Ini akan meningkatkan lagi hubungan perniagaan, kebudayaan dan pelancongan antara kedua-dua bandar serta mengekalkan kerjasama yang erat di kalangan kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat umum,” katanya lagi.

Delegasi MOTS telah diberi taklimat oleh Pengurus Besar untuk Southern China Airlines di Kuala Lumpur Eric Wong, mengenai perspektif syarikat penerbangan dan laluan yang diliputi di rantau ini.

China Southern Airlines Company Limited, juga dikenali sebagai China Southern, ialah syarikat penerbangan yang beribu pejabat di Daerah Baiyun, Guangzhou, Wilayah Guangdong dan merupakan syarikat penerbangan terbesar di China.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *