KUCHING: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sarawak ditubuhkan bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna dalam membuat aduan sekiranya menjadi mangsa penipuan.
Pengerusinya, Wynson Ong Teck Been berkata, ia juga boleh mewujudkan ekonomi yang seimbang apabila hak dan kepentingan pengguna dilindungi.
Tambahnya lagi, masalah utama yang dihadapi penngguna ialah apabila terlibat dalam penipuan dalam talian.
“Di sini, pengguna dlihat sanggup menanggung kerugian berbanding membuat aduan kepada pihak yang berkaitan.
“Disebabkan tidak menyedari hak mereka selain tidak mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan menyebabkan mereka memilih berdiam diri,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Terdahulu, mereka telah mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng bertujuan untuk bekerjasama mengenai kesedaran penyakit Rabies dalam kalangan komuniti di Kuching
Mengenai fungsi MTPN, Wynson berkata pihaknya akan terus menyiasat sebaik sahaja menerima laporan dengan kerjasama daripada jabatan kerajaan yang terlibat.
“Kami akan membuat laporan polis serta mengemukakan aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan membawanya ke Tribunal Tuntutan Pengguna,” jelasnya.
Ujarnya lagi, MTPN berharap isu-isu pengguna dapat diambil perhatian di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi kerajaan mengambil langkah-langkah sewajarnya,” jelasnya.