Tempatan

Muzium Budaya Borneo akan dirasmikan pada 9 Mac ini 

KUCHING: Muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara Muzium Budaya Borneo akan dibuka kepada orang ramai bermula 9 Mac depan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Muzium Budaya Borneo akan menjadi tarikan atau destinasi wajib dikunjungi di Kuching.

Sebanyak tiga tema telah dipilih bagi setiap aras bangunan muzium itu, iaitu ‘Sayangi Sungai Kita’ (Aras Dua), ‘Harmoni dengan Alam Semula Jadi (Aras Tiga), ‘Perubahan Masa (Aras Empat) dan ‘Objek Keinginan’ (Aras Lima).

Aras Dua direka bentuk bagi memenuhi tanggungjawab sosial dengan memperkasakan imaginasi kanak-kanak dan penjagaan alam sekitar.

Aras Tiga pula meneroka hubungan antara manusia dan alam semula jadi, manakala Aras Empat mempamerkan sejarah Sarawak dan Borneo dari zaman pra sejarah hingga tahun 1970an dan Aras Lima menempatkan objek-objek paling dihargai kumpulan etnik Sarawak.

Muzium Budaya Borneo ini juga akan menawarkan pengalaman mendalam dan menarik kepada pengunjung kerana menggunakan teknologi audio visual juga realiti terimbuh (AR).

“Mereka yang berkeluarga pastinya teruja membawa anak-anak ke sini dan saya percaya penduduk tempatan mempunyai keinginan tinggi untuk mengunjungi muzium ini. Panduan akan disediakan untuk pengunjung supaya mereka lebih memahami sejarah Sarawak dan asal usul artifak-artifaknya,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Majlis perasmian muzium ini akan diadakan pada 4 Mac yang akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. 

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Tazudin Mohtar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *