Tempatan

Muzium Budaya Borneo pelaburan jangka panjang Sarawak

KUCHING: Pembinaan Muzium Budaya Borneo merupakan pelaburan jangka panjang Kerajaan Sarawak dalam memacu ekonomi negeri berkenaan melalui pembangunan budaya dan industri kreatif.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan muzium yang dibina dengan kos RM323 juta itu diyakini akan merancakkan sektor pelancongan seali gus membawa pulangan ekonomi kepada Sarawak.

Katanya, dengan mempromosi perkembangan budaya serta industri kreatif melalui muzium tersebut juga akan membantu mewujudkan pelbagai peluang perkerjaan sekaligus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.

“Konsep menggunakan muzium untuk merangsang pertumbuhan ekonomi budaya adalah konsep yang bertepatan di mana ia telah berjaya dan menjadi semakin popular di negara-negara membangun.

“Sebagai contoh, Muzium Bilbao Guggenheim yang terkenal di Sepanyol dibuka pada tahun 1997, telah mencipta kesan yang luar biasa dan menjadi persekitaran yang merangsang pembangunan keseluruhan bandar.

“Lebih dekat dengan kita di Asia, Muzium Negara China di Beijing dan Muzium Sains dan Teknologi Shanghai menerima lebih 14.4 juta pelawat pada 2018, ia merupakan faktor tarikan yang kuat dalam menarik pelancong sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi bandar itu,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Muzium Budaya Borneo yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Kuching pada Jumaat.

Jelasnya, mengambil kira kesan positif terhadap ekonomi di dua negara berkenaan hasil dari pembinaan muzium, Kerajaan Sarawak telah bersetuju meluluskan pembinaan Muzium Budaya Borneo yang sebelumnya dikenali sebagai Kampus Muzium Sarawak pada 2014.

Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari lagi, Jabatan Muzium Sarawak (JMS) boleh memainkan peranan besar dalam menghubungkan budaya dengan kreativiti dalam usaha melindungi dan memelihara warisan negeri Sarawak.

Malah katanya, Kerajaan Sarawak melalui JMS sentiasa menjadi pelindung kepada tradisi dan budaya negeri ini dan mencari jalan untuk membolehkan masyarakat di negeri ini berubah menjadi lebih moden dan berkembang maju.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapan aluannya berkata Ordinan Warisan Sarawak 2019 yang berkuat kuasa pada 1 Mac lalu akan membantu memperkukuhkan warisan dan budaya di negeri ini.

Katanya, ordinan tersebut akan meluaskan lagi skop warisan Sarawak merangkumi warisan bawah air serta warisan budaya ketara dan tidak ketara.

“Ia juga termasuk penubuhan ‘Majlis Warisan Sarawak’ yang akan membantu kerajaan dalam polisi yang berkaitan dengan warisan.

“Di samping itu, di bawah ordinan ini juga ditubuhkan ‘Dana Warisan Sarawak’ untuk tujuan pemeliharaan dan pemuliharaan karya warisan negeri,” katanya.

Tambahnya, JMS merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan ordinan tersebut yang telah diluluskan oleh DUN Sarawak pada 5 November 2019.

“Pemuliharaan bangunan warisan pada asasnya adalah proses berterusan dan bukan aktiviti sekali sahaja kerana ia memerlukan perancangan yang menyeluruh melalui Pelan Pengurusan Pemuliharaan. Dengan ini, Limbungan Brooke di Kuching akan dijadikan Muzium Maritim,” ujarnya.

Selaras dengan Seksyen 48, Ordinan Warisan Sarawak, 2019 katanya, bangunan atau tapak warisan yang telah diisytiharkan sebagai tapak warisan hendaklah dipelihara dan dipulihara mengikut melalui Pelan Pengurusan Pemuliharaan. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *