Tempatan

MYAirline sedia tawar tiket lebih murah ke Sarawak 

MIRI: Syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia, MYAirline sedia menawarkan tiket penerbangan yang lebih murah ke Sarawak, di samping perkhidmatan sokongan pelanggan yang lebih baik dan penerbangan yang menepati jadual.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MYAirline Rayner Teo Kheng Hock berkata demikian semasa pertemuannya dengan Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man di Selangor, pada Jumaat lalu.

Dalam maklum balasnya kepada Utusan Borneo berhubung isu berkenaan menerusi kenyataan melalui WhatApps hari ini Chiew memberitahu, beliau telah mengunjungi pejabat MYAirline dan bertemu dengan Teo untuk membincangkan beberapa masalah berhubung tambang tiket penerbangan yang mahal ke Sarawak.

Katanya, isu harga tiket penerbangan yang tinggi sering menjadi topik hangat dalam kalangan orang ramai, sama dibincangkan di media sosial mahupun diadu kepada beliau dan Pejabat Pusat Khidmat P219 Miri, secara terus.

“Harga tiket penerbangan ke Sarawak dan juga Sabah, akan menjadi lebih mahal terutamanya pada musim perayaan.

“Ini menyebabkan ramai rakyat negeri ini yang bekerja dan belajar di Semenanjung Malaysia berasa ia terlalu membebankan dan tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan,” katanya.

“Justeru ia menyebabkan mereka tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk bercuti pada musim perayaan.

“Perkara inilah kerap diadukan oleh ahli keluarga mereka di sini.

“Oleh itu, saya telah mengunjungi CEO MYAirline (Teo) syarikat penerbangan tambang murah yang baru dan lihat apa yang boleh mereka bantu,” tambah beliau.

Chiew berkata, ternyata pertemuannya dengan Teo memberikan hasil yang positif dan amat memberangsangkan.

“Teo memberitahu MYAirline dapat memberikan tiket penerbangan yang lebih murah (ke Sarawak), perkhidmatan sokongan pelanggan yang lebih baik dan penerbangan menepati jadual.

“Saya juga telah mengambil kesempatan ini untuk berbincang bersama pegawai yang bertugas dengan harapan agar mereka dapat melancarkan penerbangan tambang murah ke Miri dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau kemudian dimaklumkan bahawa penerbangan ke Miri sudah dalam perancangan MYAirline, selepas Sibu.

“Diharapkan MyAirline dapat menawarkan perkhidmatan penerbangan yang mampu milik kepada warga Miri pada tahun hadapan.

“Saya berharap industri penerbangan dapat mempunyai persaingan yang sihat dan baik, supaya dapat memanfaatkan pengguna di Sarawak dan Miri khasnya dan tidak perlu lagi menanggung beban harga tiket penerbangan yang tinggi,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu juga Chiew berharap harga yang mampu milik untuk semua orang juga dapat menggalakkan lagi sektor pelancongan Miri.

MYAirline yang ditubuhkan pada 2021 dan beribu pejabat di Subang Jaya, Selangor telah memulakan penerbangan sulungnya ke Sarawak iaitu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 1 Disember 2022.

Selain Kuching, syarikat penerbangan itu, dengan armada tiga pesawat Airbus A320 turut perkhidmatan sulungnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kota Kinabalu dan Langkawi pada tarikh yang sama.

MYAirline dijangka memulakan penerbangan sulungnya dari KLIA ke Sibu pada 18 Januari 2023 dan akan dilakukan dua kali sehari.

Manakala, rancangan MYAirline untuk melancarkan penerbangannya ke sektor Tawau, Miri, Alor Setar dan Terengganu akan dimulakan selepas syarikat penerbangan itu menerima kelulusan kawal selia, dalam masa terdekat.

Pengembangan antarabangsanya ke Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam pula dijangka dilakukan menjelang Mac 2023.-UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *