Tempatan

Operasi pencarian kanak-kanak hilang dihentikan

KUCHING: Operasi pencarian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie, di sekitar perairan sungai Muara Tebas, Kuching sejak Ahad lalu sudah dihentikan pada 6:00 petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ashmon Bajah berkata, walaupun pelbagai inisiatif pencarian sudah diambil pasukan operasi, namun pencarian Eric telah terbatas oleh beberapa faktor antaranya bentuk muka bumi, ancaman binatang buas, cuaca dan keadaan air pasang surut.

“Sehingga kini, operasi pencarian belum mendapat sebarang petunjuk.

“Pasukan siasatan akan meneruskan tumpuan siasatan secara saintifik bagi merungkai petunjuk yang ada,” katanya dalam kenyataan malam Sabtu.

Ashmon berkata, pihak polis juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam mengenai kes itu.

Pada 14 Mac lalu, polis mengklasifikasikan kes kehilangan Eric sebagai kes bunuh membabitkan dua suspek iaitu pasangan penjaga yang ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, kanak-kanak itu telah dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Bintawa, pada 7 Mac lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *