Tempatan

Padah miliki dan dengan niat jual haiwan liar di Miri

MIRI: Seorang lelaki warga tempatan telah dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas kesalahan memiliki dan menjual bahagian hidupan liar secara haram.

Menerusi catatan di Facebook Sarawak Forestry Corporation (SFC) hari ini, hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Seksyen Miri, Azreena Aziz, setelah tertuduh, Junilis Wesly, 48 tahun, mengaku bersalah ke atas kesemua ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Katanya, berdasarkan kepada fakta kes, tertuduh yang sebelum ini mempunyai satu rekod jenayah lampau pada tahun 2021 dan pernah didenda oleh SFC kerana melakukan kesalahan melanggar Ordinan yang sama, telah didakwa bagi dua kertas siasatan yang dibuka keatasnya melalui kesalahan yang dilakukan pada tahun 2022 dan 2023 yang bertempat di Tamu Pujut Corner, Miri.

“Bagi pertuduhan pertama iaitu pada tahun 2023, tertuduh telah didakwa dibawah Seksyen 37(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 37(2)(C) iaitu tuduhan memiliki bahagian hidupan liar iaitu sebanyak 17.58 kilogram daging rusa, tanpa kebenaran daripada Controller Hidupan Liar dan tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan di denda sebanyak RM2,000 (Sebulan penjara sebagai gantian sekiranya denda tidak dibayar).

“Manakala untuk pertuduhan kedua, tertuduh telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 ( empat bulan penjara sebagai gantian sekiranya denda tidak dibayar) di atas kesalahan di bawah Seksyen 37(3) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 33(1) dan dibacakan bersama Seksyen 33(3), Ordinan yang sama kerana dengan niat untuk menjual daging rusa tersebut.

“Jumlah denda ini merupakan denda berganda yang telah dikenakan kepada tertuduh melalui peruntukan dibawah Seksyen 51, Ordinan yang sama kerana tertuduh pernah ditangkap oleh pihak SFC atas kesalahan melanggar Ordinan yang sama sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, ujarnya, beliau juga telah dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan di denda sebanyak RM10,000 ( empat bulan penjara sebagai gantian sekiranya denda tidak dibayar) kerana memiliki dua ekor bangkai hidupan liar terlindung yang telah dibunuh.

“Tertuduh telah didakwa dibawah Seksyen 29(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 kerana memiliki hidupan liar terlindung tanpa lesen daripada Controller Hidupan Liar iaitu spesis monyet dan musang.

“Kejadian dilaporkan berlaku di tempat yang sama iaitu di Tamu Pujut Corner.

“Waran tangkap juga pernah dikeluarkan oleh mahkamah terhadap tertuduh kerana gagal menghadirkan diri untuk sebutan kali pertama kes di mahkamah sebelum ini.

“Pendakwaan telah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

“Tertuduh gagal membayar denda tersebut dan digantikan dengan hukuman penjara.

“Sehubungan itu, hukuman penjara akan dijalankan serentak iaitu bermula daripada tarikh hukuman tersebut dibacakan,” jelas SFC lagi.

Sementara itu, Controller Hidupan Liar, Abang Arabi Abang Aimran telah menyeru kepada orang ramai agar sentiasa patuh kepada undang undang yang telah ditetapkan terutamanya di dalam melindungi hidupan liar.

“Penjualan daging haiwan liar secara terbuka dan pemburuan secara haram bukan sahaja melanggar Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998, malahan aktiviti seumpama ini menyumbang kepada kepupusan haiwan liar tersebut di habitat asalnya.

“Kerajaan Sarawak memandang serius aktiviti haram ini dan tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang melakukan kesalahan ini bagi memastikan hidupan liar di Sarawak sentiasa dilindungi agar ianya tidak diancam kepupusan,” katanya.

Menurut beliau lagi, hukuman denda dan penjara yang dikenakan oleh mahkamah kepada tertuduh diharap dapat memberi pengajaran dan kesedaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Beliau berharap kes ini menjadi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat di Sarawak agar tidak melakukan aktiviti penjualan haiwan liar sewenang-wenangnya kerana jenayah yang melibatkan hidupan liar merupakan satu kesalahan serius di sisi undang undang Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998, di Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *