Menarik Tempatan

Pais makanan yang sering dinantikan masyarakat di bulan Ramadan

KUCHING: Setiap kali kedatangan bulan Ramadan, pastinya ramai masyarakat menantikan pelbagai juadah makanan dan minuman yang tiada pada hari-hari biasa. 

Pais, sejenis makanan laut yang dipanggang di atas bara api semenangnya dinantikan masyarakat. Ini disebabkan adanya pelbagai jenis pais yang boleh dinikmati seperti Pais Ikan Tenggiri, Pais Udang, Pais Sotong dan sebagainya. 

Bagi mereka yang baru sahaja mengenali pais, ia merupakan isi makanan laut yang diadunkan bersama bahan lain yang kemudiannya dibakar di dalam balutan daun kunyit, membuatkan mereka yang berpuasa terliur menunggu terbenamnya matahari bagi merasainya.

Pais sedap dimakan begitu sahaja atau bersama dengan nasi panas dengan paduan rasa manis, pedas dan masin menjadikan santapan ini begitu menyelerakan.

Bagi seorang peniaga Pais yang dikenali Nuru Hidayah, beliau berkata permintaan terhadap juadah berkenaan meningkat setiap kali bulan Ramadan berbanding hari biasa.

Mendapat pengalaman membuat dan menjual Pais ini daripada ibunya yang telah berniaga hampr 40 tahun, katanya Pais kini mempunyai pelbagai jenis, namun kesemuanya menggunakan bahan yang hampir sama.

Ujarnya lagi, antara bahan wajib yang perlu ada dalam pembuatan pais ialah kelapa parut, daun kunyit, bunga kantan, cili, bawang dan garam.

“Pais kini ada pelbagai jenis yang mana saya sendiri menawarkan 11 jenis yang kesemuanya adalah dari makanan laut.

“Antaranya pais botok ikan tenggiri, botok udang, botok sotong, botok telur ikan tenggiri, telur belangkas, telur ikan popot, telur terubuk, suman lemantak udang dan suman lemantak sotong,” katanya.

Tambah Hidayah lagi, antara jenis Pais yang menjadi kegemaran orang ramai Ialah Pais Telur Belangkas yang merupakan jenis paling popular berbanding yang lain kerana rasanya yang kekal segar walaupun selepas dipanggang dalam tempoh yang panjang dan ia dikategorikan sebagai jenis yang ‘rare’ dalam kalangan penggemar.

“Proses untuk masaknya ialah bermula dengan belangkas tersebut akan direbus terlebih dahulu dan kemudiannya telur belangkas itu akan diambil dan diletakkan di dalam daun kunyit untuk dipanggang selama setengah jam.

“Bagi pais jenis ini, ia tidak memerlukan perencah atau garam seperti jenis yang lain,“ tambahnya.

Harga jualan bagi setiap jenis Pais ini adalah antara RM3 hingga RM4 bergantung kepada jenis Pais. 

Exit mobile version