Tempatan

Pameran Riben Kuning, Pencegahan Bunuh Diri perlu diberikan pujian, cegah secara berleluasa

KUCHING: Sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Samarahan menganjurkan Pameran Riben Kuning, Pencegahan Bunuh Diri sewajarnya diberikan pujian dalam mencegah gejala itu yang semakin berleluasa. 

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata pujian dan sokongan wajar diberikan  kepada usaha mereka ini kerana ia dapat membentuk masyarakat prihatin dan penyayang dalam kalangan generasi muda hari ini. 

Katanya lagi, selain pendekatan kerohanian, pergaulan yang sihat juga boleh mencegah masalah kemurungan yang berlaku sekaligus membawa kepada  usaha membanteras gejala membunuh diri. 

“Mereka yang mengalami kemurungan ini hanya memerlukan sahabat-sahabat yang peka dan sudi mendengar keluhan dan masalah mereka dan kita cuba untuk menaikkan semangat dan jati diri mereka,” katanya semasa berucap Pameran Riben Kuning, Pencegahan Bunuh Diri di La Promanade, Kuching pada Sabtu. 

Pameran tersebut telah diusahakan 19 mahasiswa dan mahasiswi UiTM Samarahan dari Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan bermula 2 hingga 10 Julai yang bertujuan mendidik masyarakat agar tidak mengambil jalan mudah dengan membunuh diri sebagai penyelesaian masalah.

Ujar Datuk Abdullah lagi, golongan yang berhadapan dengan masalah dan kemurungan ini wajar dibantu dengan mendengar masalah mereka serta memberi dorongan agar mereka berfikiran positif berbanding mengambil jalan  mudah dengan bunuh diri.

“Golongan yang mempunyai masalah dan kemurungan perlu memanfaatkan pameran ini dan menyertai aktiviti-aktiviti disediakan dengan harapan dapat mengurangkan tekanan dihadapi,” katanya sambil menggalakkan mereka beriadah sambil berinteraksi antara satu sama lain. 

Sementara itu, bagi Ketua Projek Pameran Riben Kuning Sufarhana Trisna  ketika ditemui berkata pelbagai aktiviti diadakan dan orang ramai boleh dmenyertainya sepanjang pameran yang dibuka kepada umum bermula 10:00 pagi hingga 9.30 malam. “Kita mahu mendidik masyarakat tentang cara menangani keadaan mental yang berkaitan tingkah laku membunuh diri.

“Pameran ini juga untuk menggalakkan penyembuhan dan melaksanakan strategi masyarakat mencegah bunuh diri,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan ialah ‘The Worry Bin’ di mana para pengunjung boleh menulis kerisauan, kekhuatiran dan masalah untuk dibuang ke dalam bakul sampah khas. 

Aktiviti sebegini bertujuan agar individu terbabit melupakan masalah seperti dilakukan dengan membuang ke dalam bakul sampah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *