Nasional Parlimen lulus pindaan akta naikkan cuti paterniti kepada 7 hari

Parlimen lulus pindaan akta naikkan cuti paterniti kepada 7 hari

14

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265), yang antara lain mencadangkan agar cuti paterniti dinaikkan daripada tiga kepada tujuh hari, selepas mendapat sokongan suara terbanyak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 untuk bacaan kali kedua berkata ia bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin supaya dapat menguruskan kelahiran anak dalam tempoh mencukupi.

“Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga. Melalui pindaan ini, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam,” katanya. 

Seramai 19 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu dengan kebanyakannya menyentuh isu cuti paterniti, cuti bersalin, gaji minimum serta buruh paksa.

Ahmad ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kelayakan cuti paterniti terhad kepada lima kali kelahiran tanpa mengira bilangan isteri dan cuti bermula pada hari isteri bersalin manakala pekerja lelaki, antara lain, perlu bekerja sekurang-kurangnya 12 bulan dengan majikan sama.

Beliau berkata pindaan itu juga melibatkan pertambahan cuti bersalin dari 60 hari kepada 98 hari selaras Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Persidangan Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 bagi meminda Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Rang undang-undang itu, yang dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 14 Ahli Parlimen.

Antara lain, rang undang-undang itu bertujuan memberi kuasa kepada pengawal, pegawai bekalan, pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada inspektor atau pegawai kastam untuk menahan tanpa waran orang yang dipercayai melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah Akta 122.-BERNAMA

Previous articleAnak kelahiran Sarawak menang Anugerah Cinema Audio Society (CAS) 2022
Next articleKecualikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi usahawan mikro – Noh
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here