Tempatan

PBB tidak gentar Undi 18, yakin belia akan beri sokongan pada PRU15

KUCHING: Pelaksanaan undi 18 tahun tidak akan menjejaskan populariti dan peluang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, peraturan baru itu tidak menggentarkan PBB kerana percaya golongan belia akan memihak kepada parti keramat itu.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penubuhan pergerakan belia PBB untuk mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun.

“Kita ‘welcomed’ 18-28, kita hendakkan 18-28 bersama dengan kita. PBB memang berkehendakkan mereka. Hari ini, PBB menyediakan masa depan untuk mereka. Kita tubuhkan dana berdaulat untuk mereka. Ini untuk masa depan mereka. Biar kita bekerja hari ini untuk mereka.

“Kerana itu kita tidak gentar apabila mereka menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun…kerana kita tahu mereka yang berumur 18 tahun bersama dengan kita kerana kita mengambil berat terhadap mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Dalam memastikan visi menjadikan Sarawak wilayah termaju pada 2030, Premier Sarawak menggesa anak-anak negeri ini mendapatkan ilmu yang terkini.

Dalam hal ini, beliau yang juga Yang DiPertua PBB Sarawak berikrar akan menyediakan pendidikan secara percuma kepada anak-anak Sarawak menggunakan sumber dari dana kekayaan berdaulat.

“Sudah menjadi niat saya, kalau kita ada ‘surplus fund’, kita labur menerusi dana berdaulat. Kalau pulangannya banyak, kita berikan pendidikan, kalau boleh free kepada anak Sarawak,” tambahnya.

Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga mengingatkan ahli-ahli PBB untuk bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Beliau juga mahu ahli-ahli PBB tidak leka dengan kemenangan 47 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas dan meningkatkan usaha untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyapu bersih 31 kerusi pada PRU nanti.

“Jangan terlalu sombong dengan kemenangan tapi mesti kerja kuat secara humble. Kita menang 76 daripada 82 (kerusi) meneursi GPS dengan rakan kita.

“Saya yakin kita bekerjasama bersatu hati, bersatu tenaga untuk menyapu bersih 31 kerusi pada PRU akan datang,” katanya lagi.

Dalam ucapan sama, Premier Sarawak mendedahkan Kerajaan Singapura telah bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Sarawak untuk membangunkan pusat data di negeri ini.

Katanya, persetujuan itu dicapai susulan perbincangan diadakan bersama dengan Singapura baru-baru ini.

Katanya, sebagai balasan kepada pelaburan itu, Sarawak juga bersetuju membekalkan tenaga elektrik kepada negara republik itu pada kapasiti tidak melebihi 1000 megawat jika mempunyai lebihan bekalan elektrik.

“Pusat data adalah nadi ekonomi digital. Terutama Microsoft, Google, Amazon. Dan mereka memerlukan tenaga (elektrik). Singapura mungkin tidak dapat menyediakan tenaga.

“Mengapa tidak kita bekerjasama dengan mereka, bawa Microsoft, Amazon datang ke Sarawak dan menubuhkan pusat data mereka di sini. Jadi kita sama-sama menang,” katanya.

Selain Singapura, Sarawak katanya juga bersetuju untuk membekalkan tenaga elektrik kepada Negara Indonesia, Brunei Darussalam dan Sabah. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *