Nasional

PDRM dan Astro pantau premis perniagaan tayang siaran hiburan tidak sah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Astro menjalinkan kerjasama bagi memantau premis perniagaan yang menayangkan siaran hiburan dengan menggunakan kelengkapan penstriman tidak sah.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata, masyarakat perlu menghentikan penggunaan peranti yang tidak dibenarkan kerana ia jelas salah di sisi undang-undang.

“Program ini bertujuan memberi kesedaran kepada premis-premis perniagaan yang menayangkan siaran hiburan menggunakan perkhidmatan berbayar seperti Astro, mahupun lain-lain penyedia perkhidmatan, bahawa penggunaan tidak sah adalah merupakan satu kesalahan,” katanya kepada Astro AWANI.

Ujarnya, Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Feb 2022 telah mula dikuatkuasakan mulai 17 Mac tahun ini.

Jika sabit kesalahan, individu yang melanggar akta tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pindaan ini juga memperkenalkan beberapa perubahan kepada akta bertujuan menguatkuasakan undang-undang terhadap pelanggaran hak cipta menerusi teknologi penstriman. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *