Tempatan

Pejabat Perdagangan & Pelancongan Sarawak di Brunei beroperasi tahun ini

KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) akan mula beroperasi pada tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rancangan Kerajaan Sarawak itu bertujuan meningkatkan lagi kolaborasi dalam bidang seperti pertanian, pelancongan dan perusahaan kecil dan sederhana.

“Saya berharap lebih banyak usaha bersama kedua negara dapat dijalinkan di pelbagai peringkat antara Brunei dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Negara Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Abdul Manaf Metussin di Wisma Sumber Alam di sini semalam.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Zaidi Mahdi dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dzulkornain Masron.

Dalam perkembangan lain, Awang Tengah turut memaklumkan mengenai nilai eksport Sarawak ke Brunei yang berjumlah RM3.59 bilion tahun 2023.

Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata, eksport tersebut meliputi tiga barangan utama yang mana sebahagian besarnya terdiri daripada minyak, barangan plastik dan peralatan mesin.

Beliau juga mendedahkan, nilai dagangan Sarawak dan Brunei Darussalam meningkat sebanyak 23.8 peratus pada 2023 iaitu sebanyak RM3.76 bilion berbanding tahun 2022 sebanyak RM3.04 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *