Rencana

Pelajar lepasan vokasional mudah dapat kerja

Globalisasi antara topik kritikal dalam perbincangan dan kebimbangan sejak kebelakangan ini.

Dengan kesannya terhadap kehidupan, sudah tentu kita harus melakukan penambahbaikan yang besar melalui pelaksanaan program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Program ini dianggap sebagai instrumen yang paling efektif dalam memenuhi permintaan global serta menjadi pencabar di pentas saingan global.

Dalam kehidupan masa kini, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi sentiasa berubah dengan kadar yang pantas.

Sebagai jawapan kepada keperluan trend ekonomi dan sasaran terkini, perancangan pendidikan juga hendaklah bergerak ke arah pembentukan pengajaran serta penyampaian kandungan.

Senario ini mula menampakkan perubahan pada masa kini. Orang ramai mula sedar bahawa kepentingan dan memilih untuk mengambil kursus ini, sama ada secara atas talian atau luar talian, bagi mendapatkan kemahiran berkaitan dengan bidang tertentu agar prospek kerjaya mereka menjadi lebih baik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata beberapa kursus di bawah program ini mungkin tidak lagi relevan kepada anak muda memandang mereka kini cenderung ke arah waktu kerja fleksibel atau menceburkan diri dalam ekonomi gig.

Saya bersetuju dengan kenyataan beliau kerana kini ramai anak muda berada di jalan raya memandu motosikal sebagai penghantar makanan.

Menteri juga merujuk kepada kepentingan program TVET dalam menangani pengangguran, berdasarkan statistik yang menunjukkan penurunan kadar

pengangguran ke tujuh peratus berbanding 7.4 peratus pada Oktober 2022.

Persediaan untuk pekerjaan

Pendidikan vokasional mempersiapkan individu untuk kerja tertentu. Seseorang akan mendapat kemahiran dan kualiti diperlukan dalam menjalankan tugasnya, seperti rekaan fesyen, hiasan dalaman, perangkaian komputer, pembaikan auto dan lain-lain.

Lazimnya, kurikulum untuk kursus seperti ini disediakan selepas menerima cadangan daripada majikan tempatan.

Selain pengajaran dalam darjah, pengetahuan amali juga dikendalikan di lapangan. Pembelajaran makmal ditumpukan bagi memberikan pengetahuan amali kepada pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran.

Ini mempersiapkan mereka untuk tugasan hakiki serta boleh berlaku adil terhadap kerjaya mereka berdasarkan pengetahuan yang luas.

Mudah mendapat pekerjaan

Pendidikan vokasional memudahkan pelajar untuk mencari pekerjaan.

Secara amnya, majikan cenderung mengambil pelajar yang menjalani kursus vokasional kerana latihan khusus dipelajari mereka, berbanding lepasan kolej.

Pelajar ini memiliki kemahiran, kualiti, pendidikan dan kesabaran yang bagus untuk sesuatu pekerjaan.

Dengan pengetahuan yang dimiliki, adalah menjadi satu kelebihan bagi pelajar vokasional untuk mendapatkan pekerjaan.

Kejayaan kerjaya

Golongan bekerja dan ingin mendapatkan pendidikan lanjutan untuk kemajuan kerjaya mereka tidak berupaya mengambil cuti belajar yang lama hanya untuk mendapatkan ijazah kolej.

Oleh itu, kursus vokasional ialah satu alternatif untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan. Kursus ini tidak mengambil masa lama, tetapi kemahiran dan kualiti diterapkan boleh dibandingkan dengan kursus di kolej.

Melaluinya, pekerja boleh meningkatkan prospek kerjaya mereka dan mencapai kejayaan.

Mempromosikan keusahawanan

Selepas menjalani kursus vokasional, individu memiliki kemahiran mencukupi untuk memulakan perniagaan sendiri.

Ramai lepasan vokasional mengambil langkah ini kerana salah satu kursus yang diikuti adalah keusahawanan yang amat sesuai memandang keadaan ekonomi hari ini.

Dalam kemelesetan ekonomi sekarang, ramai orang kehilangan pekerjaan. Maka, kursus vokasional meningkatkan kadar perniagaan kecil, sekali gus meningkatkan pekerjaan, seterusnya mengurangkan beban kerajaan dalam menyediakan pekerjaan kepada penganggur.

Bagaimanapun, sebelum memilih untuk mengikuti kursus vokasional, pelajar harus memastikan institut pilihan mereka hendaklah memiliki reputasi bagus dari segi kualiti pendidikan dan kebolehpasaran.

Selepas itu, masa dan kos untuk kursus tertentu hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya. Ini kerana pendidikan vokasional menyediakan kemahiran khusus untuk sesuatu pekerjaan dan menyumbang ke arah kejayaan dalam kerjaya.

Dalam dunia hari ini, ilmu pengetahuan yang khusus amat penting dan ini membuktikan pendidikan vokasional memiliki kebaikan seperti pendidikan di kolej!-BERITA HARIAN

Penulis adalah Pengarah Program di Akademi Kemajuan Pengurusan Asia, Dr Vizayer Raj

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *