Nasional

Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 akan diumum dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum baharu yang dicadangkan sebanyak RM1,500 tidak akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata sebaliknya perkara itu akan diumumkan dalam terdekat memandangkan situasi ekonomi negara ketika ini bertambah baik.

Katanya, kebanyakan perniagaan juga dilihat berkembang serta menunjukkan trend pemulihan.

“Kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar lebih tinggi berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Namun, kadar gaji minimum yang baharu hanya akan dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan majikan,” katanya menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai cadangan kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum sekitar RM1,500 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menjawab soalan tambahan Kulasegaran kenapa kerajaan masih belum melaksanakan penetapan gaji minimum terbabit memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan ramai pekerja menghadapi masalah, Saravanan berkata kerajaan secara dasar bersetuju menaikkan kadar gaji sebanyak RM1,500.

“Sebagai kerajaan yang rasional, kita perlu mengkaji pelbagai aspek…kita masih ada tanggungjawab dan mengkaji secara mendalam.

“Malah Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri dalam tiga minggu berturut-turut, kita berbincang mengenai gaji minimum dan mengambil kira pelbagai aspek,” katanya.

Saravanan berkata, beliau sedar kenaikan gaji perlu dilaksanakan setiap tahun namun situasi kini berbeza yang mana keadaan amat di luar kebiasaan.

Jelasnya, jika kerajaan gagal melaksanakan kajian terperinci, ia akan memberi kesan kepada sektor tidak formal hingga memaksa majikan mengambil langkah drastik memberhentikan pekerja mereka.

“Kita sedang mengkaji, maka saya beri jaminan kepada Yang Berhormat dalam masa terdekat, kerajaan akan umumkan gaji minimum bukan atas dasar desakan mana-mana pihak tetapi atas dasar usaha kerajaan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan turut mengumumkan kadar pengangguran negara berjaya diturunkan dari 5.3 peratus kepada 4.2 peratus dan kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan lagi kadar terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *