Tempatan

Pelan Pembangunan Lorong Bas Khusus ke dalam dasar perancangan bandar di Sarawak

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak (SUTMaC) bersetuju memasukkan Pelan Pembangunan Lorong Bas Khusus ke dalam dasar perancangan bandar di negeri ini. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, ini bagi memudahkan pembangunan lorong khusus untuk bas di bandar-bandar utama di Sarawak pada masa hadapan.

Ujarnya lagi, pengurusan trafik bandar yang sistematik sangat  diperlukan di negeri ini bagi mewujudkan pergerakan manusia yang selamat, teratur dan cekap serta melindungi alam sekitar.

“SUTMaC akan meneliti isu trafik bersama-sama dan akan mengesyorkan kepada kerajaan program bersepadu dan segera serta projek dan inisiatif bagi menyelesaikan isu tersebut dengan cara yang lebih terkoordinasi.

“SUTMaC juga akan melihat bukan sahaja tindakan pelan jangka pendek tetapi juga strategi jangka panjang dalam mengurangkan masalah trafik bandar di Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Trafik Bandar Sarawak di Kuching pada Jumaat. 

Selain itu, turut dibincangkan ialah memberi tumpuan kepada isu penyelarasan projek dan program yang dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan trafik bandar termasuk operasi pusat arahan dalam menguruskan lalu lintas bandar.

Ujar Lee lagi, kerajaan Sarawak dan Persekutuan bertanggungjawab dalam mengawal aliran trafik dan pembinaan infrastruktur untuk aliran trafik.

“Agensi ini akan bekerja mengikut peranan dan fungsi masing-masing dengan agenda dan keutamaan masing-masing.

“SUTMaC akan menjadi forum untuk semua pihak berkepentingan yang berkaitan untuk duduk bersama, untuk menyelaraskan isu-isu penting yang mempengaruhi trafik bandar serta pergerakan pengangkutan,” jelasnya lagi.

Dalam mesyuarat itu juga, Sarawak Metro Sdn Bhd memberikan taklimat mengenai gambaran keseluruhan mengenai projek Transit Aliran Ringan (ART) serta Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *