Nasional Tempatan

Pelantikan sebagai TPM pengiktirafan kepada GPS, Borneo – Fadillah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perladangan dan Komoditi sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas sebaik mungkin dengan penuh amanah.

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya itu, peranan itu harus dipikul dengan mengangkat nilai istiqamah, ikhlas dan jujur demi kestabilan negara.

“Pelantikan ini adalah pengiktirafan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan blok Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

“Insya-Allah saya akan memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini berpaksikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kita memberi keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat demi Malaysia yang lebih stabil dan makmur.

“Semoga kita tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik dapat bersama-sama membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Fadillah yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut menjunjung kebijaksanaan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong sehingga membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan demi menyelesaikan kemelut politik negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan amanah ini demi negara.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS serta seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli Parlimen Sarawak, ahli-ahli parti dan rakyat Sarawak di atas kepercayaan yang diberi,” tambah beliau lagi.

Fadillah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekali gus mencipta sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama dari Sarawak yang menyandang jawatan berprofil tinggi berkenaan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, sekitar pukul 8.15 malam tadi.-AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *