Tempatan

Peletakkan kuasa pada anak Sarawak, legasi kemerdekaan perlu terus diperkasa & diberi pengisian

KUCHING: Peletakkan kuasa pada bahu anak Sarawak sendiri untuk memerintah dan menentukan hala tuju pembangunan Sarawak merupakan suatu legasi kemerdekaan yang harus terus diperkasakan dan diberi pengisian.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah bagi menjadikan negeri ini sebuah negeri yang maju, aman dan makmur, dan dikenali masyarakat serantau dan dunia luar.

“Sarawak telah meraikan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan sejak 2016 kerana pada tarikh itulah pihak koloni British telah menyerahkan kuasa kepada rakyat Sarawak untuk mentadbir negeri ini.

“Akhirnya, setelah 100 tahun (1841-1941) berada di bawah pentadbiran keluarga Brooke dan 17 tahun (1946-1963) di bawah British Crown Colony, Sarawak terlepas daripada belenggu kuasa-kuasa asing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan perayaan 60 tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka Kuching pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengenang jasa pemimpin-pemimpin negeri ini dalam tempoh 60 tahun lepas yang telah berusaha untuk mengangkat martabat Sarawak mengikut suasana dan keperluan pada era mereka masing-masing.

“Terima kasih kepada mereka, iaitu mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, mendiang Datuk Tawi Seli, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub, Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama, merencanakan pembangunan untuk memodenkan ekonomi Sarawak, penurunan kuasa dan pengembalian hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan IGC.

“Allahyarham Pehin Sri Adenan telah memulakan inisiatif untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis ketika beliau memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Sarawak.

“Seluruh rakyat Sarawak menyanjungi perjuangan yang telah dimulakan oleh beliau untuk mengangkat maruah dan martabat Sarawak Ibu Pertiwi kita sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan Malaysia. Terima kasih Tok Nan,” ujar beliau lagi.

Premier Sarawak juga merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang telah berjuang untuk menentang keganasan dan ideologi komunisme mulai awal tahun 60an.

Menurut beliau lagi, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akob aktiviti komunis berakhir dengan perjanjian Sri Aman pada 1973.

Foto: UKAS

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *