Sukan

Pemain SUFC galas tugas besar bawa nama Sarawak

KUCHING: Barisan pemain Sarawak United FC (SUFC) dituntut agar memberikan dedikasi penuh dalam kempen Liga Super 2022 yang akan disingkapkan tirainya pada Jumaat.

Demikian tegas Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil berkata pemain SUFC tidak kira tempatan mahupun import menggalas tanggungjawab besar bukan sahaja membawa nama pasukan itu malah nama Sarawak di pentas berprestij tersebut.

Justeru katanya, penting untuk setiap pemain SUFC menyimpan semangat memenangi setiap perlawanan yang diharungi nanti.

“Walaupun SUFC dari Liga Premier, ia bukan dijadikan kayu pengukur yang menunjukkan mereka tidak berupaya untuk menang.

“Saya percaya apabila bermain di stadium keramat iaitu Stadium Negeri, Petra Jaya, harapan saya ia akan menyuntik semangat mereka untuk memenangi perlawanan untuk Sarawak,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jersi Pasukan SUFC 2022 bertempat di Pasar Raya Besar Mydin, Petra Jaya pada Khamis.

Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan turut menggesa penyokong tempatan untuk memberikan sokongan padu kepada SUFC pada aksi pertama menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Jumaat.

Katanya, meskipun terpaksa akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang hanya membenarkan kehadiran penyokong sebanyak 50 peratus dari kapasiti Stadium Negeri, namun ia sudah mencukupi untuk menyuntik semangat pemain-pemain SUFC dalam setiap perlawanan di sini.

Tambah beliau, kementeriannya akan terus menyokong dan membantu SUFC sepanjang penyertaan mereka dalam kempen Liga Malaysia pada tahun ini.

Pasukan SUFC pada tahun ini diperkuatkan dengan kehadiran dua import baru iaitu penyerang kelahiran Ivory Coast, Francis Kone dan pemain tengah dari Kemboja, Kok Boris.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak, Semawi Mohamad, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Awang Madihi Awang Yatim. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *