Kes positif COVID-19 membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dilihat semakin meningkat apabila sebanyak 50,826 kes dicatatkan dalam tempoh awal Januari hingga pertengahan bulan ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan, kanak-kanak dijangkiti COVID-19 akan mempunyai gejala seperti batuk dan selsema berterusan lebih seminggu, bernafas laju, kurang selera makan, muntah, cirit-birit, tidak aktif seperti selalu dan demam berpanjangan. Ada juga diserang sakit dada, sakit perut serta sawan.
Jika dilihat di mana-mana kemudahan kesihatan atau klinik beberapa minggu ini, ia dipenuhi pesakit golongan umur kecil ini. Bahkan setiap hari, ada sahaja bayi dan pelajar sekolah rendah tidak hadir ke sekolah atau pusat jagaan kerana tidak sihat atau mempunyai gejala.
Umum pasti mengaitkan peningkatan ini seiring dengan penularan varian Omicron yang mudah merebak. Pertambahan ini juga ada kaitannya dengan pembukaan sekolah sejak awal tahun serta penarikan semula arahan berkerja dari rumah (BDR).
Penarikan arahan ini, sama ada sektor awam dan swasta, secara langsung mendorong ibu bapa menghantar semula anak ke pusat jagaan kanak-kanak dan bayi serta pusat transit sekolah.
Sedar tidak sedar, suasana ini mengundang kebarangkalian tinggi terjadinya jangkitan dalam kalangan golongan ini. Bilangan mereka yang ramai ditempatkan di pusat jagaan dijaga bilangan pengasuh yang terhad sekali gus tidak berupaya menghalang jangkitan sekiranya seseorang dijangkiti hadir di tempat itu.
Bagi mereka yang menggunakan khidmat pusat transit, penjaga mungkin tidak sempat memantau keadaan anak sekiranya mereka bergejala ketika bersiap untuk ke sesi sekolah seterusnya.
Tambahan pula, pada waktu transit atau tengah hari, ada kebarangkalian pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terabai, lantas memudahkan lagi penularan COVID-19.
Bagi golongan kanak-kanak yang berada pada tahap dua di sekolah rendah dan berada di rumah selepas sesi persekolahan, suasana hampir serupa mungkin terjadi. Ada yang mengunjungi rumah rakan berdekatan atau beriadah di taman permainan.
Keadaan ini pasti meningkatkan risiko apabila mereka leka dan lalai SOP pencegahan pandemik seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
Dalam usaha membendung penularan menjadi lebih teruk ketika cuti penggal akhir persekolahan, peranan ibu bapa, keluarga dan penjaga dilihat sangat kritikal.
Anak kecil ini tidak sama seperti remaja berusia 13 tahun ke atas. Mereka perlu lebih perhatian dan kerap diberi peringatan supaya sentiasa patuh dan ingat pematuhan SOP.
Bagi bayi dan mereka yang di bawah usia tiga tahun, sudah pasti mereka tidak mengerti apa yang berlaku dan perlu dilakukan. Mana mungkin mereka tahu kawalan kendiri, selain mengharapkan bantuan dan kepekaan golongan dewasa.
Mereka bergantung sepenuhnya kepada orang lain dalam usaha menjaga kebersihan dan pemantauan serta pematuhan kesihatan. Kerisauan ini menyebabkan ada ibu bapa terpaksa mengambil cuti bagi menjaga anak mereka.
Saranan KKM menyeru majikan mempertimbangkan semula kelonggaran BDR bagi membendung sementara penularan Omicron di tempat kerja, turut memberi sinar positif bagi ibu bapa dalam memantau keberadaan dan keadaan semasa kesihatan anak.
Ia bukan sahaja dapat mengelakkan jangkitan, malah arahan BDR mampu membantu ibu bapa merawat anak menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Kelonggaran BDR ini juga memudahkan ibu bapa untuk merancang temu janji anak mereka yang masih belum mendapat suntikan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Kajian mendapati sekiranya golongan ini tidak divaksin segera, mereka berdepan risiko mendapat kesan jangka panjang COVID-19 dan lebih teruk boleh diserang keradangan organ dalaman.
Sekiranya tiada usaha serius dan kesedaran daripada pihak yang sentiasa bersama golongan kanak-kanak bawah 12 tahun ini, terutama ibu bapa, keluarga dan penjaga, tidak mustahil peningkatan kes positif akan melambung ke tahap luar kawalan ketika cuti penggal ini. Ini pasti merencatkan perancangan pembukaan sesi persekolahan baharu penghujung Mac nanti.-BERITA HARIAN
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam