Tempatan Pembinaan lebuhraya, jalan perhubungan pacu pembangunan Sarawak

Pembinaan lebuhraya, jalan perhubungan pacu pembangunan Sarawak

6

BINTULU: Pembinaan lebuhraya dan jalan perhubungan sangat penting dalam memacu pembangunan sosioekonomi serta pembangunan Negeri Sarawak.

Demikian menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang berkata penyediaan infra lengkap menjadi pemangkin untuk mencapai aspirasi Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Pembinaan dan pembukaan rangkaian lebuhraya dan jalan perhubungan di negeri ini menjadi satu keperluan dan elemen penting untuk mengerakkan nadi pembangunan, ekonomi dan infrastruktur Sarawak menjelang tahun 2030.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa pembangunan lebuhraya memberi kesan berganda terhadap pelbagai program pembangunan hartanah, perindustrian dan pembandaran yang secara tidak langsung memberi kesan signifikan kepada rakyat,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Seksyen Nyabau Pakej Kerja 10 (WPC 10) di Bintulu pada Sabtu.

Ketua Menteri menambah, dasar Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berpandangan jauh dengan menumpukan perancangan strategik kepada infrastruktur dan internet mampu membawa pembangunan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

Tegasnya, dasar tersebut akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dengan penduduk akan mempunyai nilai tambah.

Mengulas lanjut, beliau optimis Bintulu akan terus mengecapi pembangunan pesat dengan usaha berterusan Kerajaan Sarawak.

“Kita yakin pembangunan Bintulu akan terus dipacu dengan adanya jaringan jalan raya dan akan memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat. Tidak lama lagi saya rasa Jambatan Kemena akan siap walaupun terpaksa berdepan dengan masalah kelewatan.

“Sudah tentu kawasan Bintulu, Jepak, Kidurong dan kawasan yang berdekatan Lapangan Terbang Bintulu akan dihubungkan dengan jarak yang lebih pendek lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Persimpangan Bertingkat (Flyover) Nyabau sepanjang 1.23 kilometer tersebut yang menghubungkan Sibu, Bintulu dan Miri merupakan salah satu jejambat dan terpanjang dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Projek Seksyen Nyabau telah bermula pada 1 Mac 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Januari 2022 dengan kos keseluruhan RM164 juta. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Previous articleKerajaan Sarawak Akan Teruskan Permintaan Dalam MA63 Biarpun Masih Dalam Pertimbangan
Next articleFazzrudin dilantik Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here