Tempatan

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak siap sepenuhnya 2024

KUCHING: Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak sudah mencapai kemajuan sebanyak 89 peratus setakat Oktober tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, tujuh daripada pakej projek tersebut telah siap sepenuhnya dan dibuka untuk kegunaan orang awam.

“Tujuh pakej LPB yang sudah siap termasuk Seksyen Telok Melano hingga Sematan; Seksyen Serian; Seksyen Jambatan Batang Rajang; Seksyen Julau; Seksyen Jejambat Nyabau; Seksyen Pujut dan Seksyen Selangau,” katanya pada ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Tambah Uggah, pakej selebihnya pula berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap sebanyak 95 peratus menjelang tahun depan, manakala selebihnya akan disiapkan pada 2024.

“LPB Sarawak merupakan projek mega yang menghadapi pelbagai cabaran pelaksanaan. Memandangkan projek tersebut hampir siap, keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya baharu tersebut,” katanya.

Sementara mengenai Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo (LTB), katanya ia antara projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan di negeri ini.

“Bagi projek SSLR fasa satu dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng, Lawas dengan panjang keseluruhan 77 km, ia kini dalam pembinaan.

“Projek ini menunjukkan kemajuan yang baik dan fasa satu dijangka siap pada suku pertama 2026,” ujarnya.

Bagi SSLR Fasa dua pula, Uggah memberitahu ia dibahagikan kepada empat pakej iaitu Pakej 1 (Mulu ke Long Seridan – 45km); Pakej 2 (Seridan Panjang ke Nanga Medamit – 71km); Fasa 3 (Long Lopeng ke Long Komap – 75km); dan Pakej 4 (Rumah Aling ke Long Merarap – 66km).

“Semua projek ini masih dalam peringkat perancangan dan kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun depan.” katanya lagi.

Mengenai projek Lebuh Raya Trans Borneo, Uggah memberitahu projek tersebut bertujuan menaik taraf rangkaian jalan sedia ada kepada dua lebuh raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah dengan Brunei Darussalam meliputi jalan sepanjang 96.3km.

“Projek ini dibahagikan kepada tiga bahagian termasuk Seksyen Miri (4.9km), Seksyen Limbang (57.3km), Seksyen Lawas (34.1km) dan kini dalam peringkat perancangan dengan pembinaan dijangka bermula pada suku keempat tahun depan,” jelasnya.-SUARA SARAWAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *