Tempatan

Pembukaan semula sempadan negara perlu dilaksana secara terancang

 

KUCHING: Pembukaan semula sepenuhnya sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengutamakan aspek kesihatan, jelas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Tegasya, kerajaan juga harus melihat dari segi aspek penularan wabak Covid-19 termasuk mengawal baik prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Katanya, walaupun pembukaan tersebut akan merancakkan usaha pemulihan pelbagai sektor perniagaan dan ekonomi negara, kesihatan dan keselamatan rakyat juga perlu dititikberatkan.

Datuk Amar Awang Tengah berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Integrasi dan Inovasi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) pada Rabu.

Ia turut dihadiri Menteri Muda Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan Kerajaan Sarawak menyambut baik langkah berkenaan kerana ia dapat merancakkan semula pelbagai sektor ekonomi di negeri ini termasuk industri perkayuan, pelancongan dan banyak lagi.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II itu lagi, pembukaan sempadan negara juga dapat membantu meningkatkan semula nilai tambah produk yang dihasilkan negeri ini.

“Ia bergantung dengan keputusan, misalnya industri perkayuan itu sendiri menghadapi masalah logistik perkapalan untuk produk-produk yang diimport.

“Justeru dengan membenarkan sesetengah industri mengimport produk atau sesetengah spesies balak, ini akan membantu sektor tersebut berkembang,” tambahnya.

Pada Selasa lepas, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *