Tempatan

Pemeteraian MoU Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan satu langkah ke hadapan dalam sektor penerbangan Sarawak

KUCHING: Pemeteraian Memorendum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar oleh kerajaan Sarawak adalah satu langkah ke hadapan yang ketara bagi sektor penerbangan di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, dengan menambah baik pengangkutan udara luar bandar, ia akan meningkatkan kesalinghubungan, mengoptimumkan kecekapan operasi, dan menggalakkan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi.

“Dengan ini, kami meletakkan asas untuk masa depan yang makmur untuk Sarawak. Bersama-sama, kita boleh mencipta industri penerbangan yang lestari dan mampan bagi memberi manfaat kepada semua masyarakat di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di sini pada Khamis.

Lee memaklumkan, inisiatif berkenaan telah dimulakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan pada 17 April lepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi sokongan ke atas inisiatif kerajaan Sarawak bagi penubuhan Syarikat Penerbangan sendiri di Kuching, Sarawak.

Menurut beliau, ia dituruti oleh sokongan daripada Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook.

“Sebagai tanda sokongan dan komitmen, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah bersetuju untuk membantu dan bekerjasama dengan memeteraikan MOU pada hari ini,” ujarnya lagi.

Beliau juga memberitahu, pengambilalihan tersebut memberikan kerajaan Sarawak peluang unik untuk menambah baik Perkhidmatan Udara Luar Bandar di Kepulauan Borneo, lebih-lebih lagi kepada Sarawak.

“Seperti yang kita sedia maklum, Sarawak diberkati dengan landskap yang menakjubkan dengan wilayah yang luas, kebanyakannya terletak di kawasan terpencil dan lembah yang berbukit-bukau.

“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Sarawak untuk memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada sistem pengangkutan yang efisien dan cekap.

“Oleh itu, dengan mengambilalih Perkhidmatan Udara Luar Bandar, kerajaan Sarawak boleh menyesuaikan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan khusus komuniti ini, memberikan mereka kemudahan dan ketersambungan kepada dunia luar yang lebih besar,” tambahnya.

Kredit foto: UKAS

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *