Tempatan

Pemindahan pusat operasi Shell jadikan Miri sebagai pusat strategik industri minyak dan gas di rantau ini

MIRI: Bahagian Miri bakal menjadi pusat strategik dalam pembangunan industri minyak dan gas di rantau ini ekoran langkah syarikat Shell Malaysia memindahkan pusat operasi serantaunya di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Miri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah dimaklumkan tentang perkara ini oleh pihak atasan dan pengurusan Shell semasa lawatan ke pejabat syarikat itu di The Hague, Belanda dua minggu lalu.

Dalam lawatan itu, beliau dan rombongan telah diberikan taklimat oleh eksekutif kanan Shell mengenai masa depan syarikat itu di Sarawak.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak atasan dan pengurusan Shell, Miri akan menjadi satu pusat yang strategik dalam pembangunan industri minyak dan gas di rantau ini.

“Perkembangan ini akan menjadikan Miri sebagai pusat pembangunan ekonomi negeri dalam industri berkaitan minyak dan gas. Insya-Allah, Miri akan terus menjadi pusat tarikan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah hotel di sini, pada Ahad.

Tambah beliau lagi, langkah memindahkan pusat operasi serantau ke Miri bakal menyaksikan kira-kira 2,000 pegawai Shell akan berpusat di sini.

“Jika jumlah 2,000 kakitangan termasuk pegawai kanan berpindah ke sini, ini bermakna penggunaan domestik akan meningkat.

“Dari sudut ekonomi dalaman, tenaga pembelian akan meningkat.

“Dengan adanya pegawai dari luar yang berkhidmat dengan Shell di sini, ia sudah tentu memberi suntikan lain kepada Miri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau optimis, syarikat sokongan yang berkhidmat kepada Shell juga akan mengikuti langkah untuk memindahkan pusat operasi ke Miri.

Ini bermakna keyakinan pelabur kepada Sarawak dan Miri, dan usaha minyak dan gas akan terus berkembang.

“Industri minyak dan gas kita akan terus berkembang kerana kita mempunyai kestabilan politik, dasar perniagaan yang mesra selain limpahan sumber yang memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengerusi LAKMM Datuk Abdillah Abdul Rahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *