Tempatan

Pencapaian UiTM membanggakan, berjaya lahirkan lebih 600,000 siswazah dalam pelbagai bidang 

KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga kini telah berjaya melahirkan lebih 600,000 siswazah di seluruh negara dalam pelbagai bidang. 

Menurut Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor, ia membabitkan siswazah dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan.

Katanya, UiTM menawarkan peluang untuk membentuk bakal pemimpin di peringkat kebangsaan, industri dan global melalui lebih 500 program akademik yang ditawarkan kampusnya di seluruh negara. 

“Saya rasa amat berbangga dengan pencapaian UiTM ini yang sekali gus dapat melonjakkan imejnya sebagai salah sebuah universiti dikenali di dalam dan di luar negara.

“Seterusnya dapat merealisasikan matlamat kita (UiTM) ke arah universiti yang dikenali di seluruh dunia menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Jubli UiTM Cawangan Sarawak di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Profesor Datuk Dr Roziah memberitahu UiTM mempunyai lebih 18,000 warga kerja merangkumi staf akademik dan bukan akademik yang mendukung aspirasi universiti ini.

Ini terbukti apabila UiTM berjaya mengecapi pelbagai anugerah dan bidang serta memperbaiki rangking universiti dunia. 

“UiTM turut mengecapi kejayaan lain antaranya menduduki tempat ke-105 dalam QS Asia University Rankings 2022 dan pada kedudukan 651-700 dalam QS World University Rankings 2023.

“Manakala bagi penarafan THE Impact Rankings 2022, UiTM berada pada kedudukan 101-200 di dunia dan tempat kedua di Malaysia.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan UiTM atas kejayaaan menjadikan universiti terus cemerlang dan gemilang,” katanya.

Seramai 1,663 graduan UiTM Cawangan Sarawak menerima ijazah sarjana muda dan diploma pada konvokesyen ini yang diadakan selama lima sidang bermula dari 4 hingga 6 Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *