Tempatan

Pencerobohan laut Sabah dan Sarawak oleh China harus dipandang serius

KUCHING: Kerancakkan pencerobohan sempadan berhampiran ruang laut Sabah dan Sarawak oleh kuasa besar dunia China, memberikan tekanan kepada serta menjejaskan ekonomi maritim kedua-dua negeri itu.

Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata lebih merisaukan lagi adalah apabila kapal terbang pejuang ‘halimunan’ China, J-20, direkodkan semakin giat berlegar di ruang udara Laut China Selatan.

Memetik laporan daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia, Jaziri berkata terdapat 23 pencerobohan sempadan laut oleh China pada tahun 2021 sahaja ke atas Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

“Pencerobohan seumpama ini bukan sahaja merupakan cabaran besar ke atas kedaulatan negara, bahkan turut menyentuh sumber rezeki rakyat Sabah dan Sarawak terutamanya golongan nelayan.

“Aktiviti perikanan amat terganggu dengan kehadiran kapal peronda China yang menggunakan alasan latihan ketenteraan. Ini menggangu industri perikanan dan boleh melumpuhkan sektor ekonomi.

“Industri perikanan kini dianggarkan pada nilai RM1.2 billion yang melibatkan lebih kurang 30 ribu orang nelayan. Perikanan ini adalah sumber kehidupan para nelayan yang mesti kita lindungi.

“Bahkan seandainya masalah ini berlarutan, kesan negatif bakal dilihat dalam isu bekalan makanan melibatkan makanan laut,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bukan sahaja di Sabah, malah nelayan Sarawak di kawasan Miri juga berkali-kali berdepan dengan masalah dibuli ketika menjalankan aktiviti mereka, katanya.

“Lebih mengecewakan adalah nelayan haram daripada China pula mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley. Perkara ini tentu sahaja mendukacitakan nelayan tempatan yang telah dinafikan sumber rezeki mereka.

“Ini juga akan melemahkan usaha untuk terus membantu dan membangunkan ekonomi nelayan di Sarawak. Inisiatif kerajaan persekutuan yang telah memberikan autonomi kepada Jabatan Perikanan Sarawak untuk mengeluarkan lesen perikanan laut dalam yang boleh menjana ekonomi perikanan tuna di kawasan lautan tersebut.

“Malangnya selagi mana isu pencerobohan ini tidak diselesaikan, inisiatif tidak akan dapat dijayakan sepenuhnya,” tegas beliau.

Katanya lagi, nelayan tempatan ‘trauma’ kerana mereka tidak keluar mencari rezeki ke laut dan dalam kesempitan ini nelayan asing telah mengambil peluang dengan menangkap ikan secara berleluasa di kawasan Malaysia sehingga negara kerugian hasil perikanan berjumlah RM4 billion setahun.

Selain daripada ekonomi perikanan, usaha penerokaan ekonomi tenaga dan minyak juga berdepan masalah terutamanya di kawasan Kasawari di Sarawak di mana kapal peneroka minyak Malaysia berdepan pelbagai cabaran.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil pendekatan yang lebih tegas untuk melindungi ekonomi dan kedaulatan Malaysia di Sarawak dan Sabah.

“Saya ingin menggesa agar Wisma Putra dan Menteri Pertahanan, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk terus mengusahakan segala kekuatan negara untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya percaya usaha kerajaan untuk sama-sama menumpukan kekuatan ASEAN sebagai pertahanan utama Laut China Selatan mestilah disokong dan disambut baik oleh semua pihak,” tambahnya.

Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri setakat ini telah berjaya menarik perhatian Amerika Syarikat agar Laut China Selatan bebas dan berkecuali. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *