Rencana Tempatan

Penduduk di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun berang dan kecewa perkhidmatan telekomunikasi sering tergendala

KANOWIT: Penduduk rumah panjang di Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun di sini berang dan kecewa dengan isu perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu.

Seorang penduduk Nur Sabrina Abdullah berkata, gangguan perkhidmatan terbaharu yang menjejaskan tidak kurang 4,000 penduduk rumah panjang di Nanga Ngungun berlaku sejak Rabu lalu.

“Hari ini adalah hari kelima kami mengalami gangguan perkhidmatan telekomunkasi serta tidak mempunyai sambungan Internet. Kami juga tidak tahu bila pihak berkuasa berkaitan akan menyelesaikan isu itu.

“Ia kejadian kedua berlaku dalam tempoh kurang dua minggu. Kejadian pertama berlaku pada 27 November lalu dan rangkaian dipulihkan selepas dua hari.

“Kali ini nampaknya akan mengambil masa lebih lama untuk perkhidmatan dipulihkan,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Ibu kepada lima anak berusia 34 tahun itu berkata, gangguan perkhidmatan itu menjejaskan kehidupan seharian mereka terutamanya yang melibatkan urusan mendesak atau kecemasan.

Nur Sabrina berkata, apabila masalah seperti itu berlaku, mereka yang mempunyai pengangkutan biasanya pergi ke Nanga Dap atau Nanga Poi yang terletak kira-kira 15 minit pemanduan dari Nanga Ngungun.

“Kedua-dua lokasi itu adalah tempat isyarat telefon bimbit tersedia dan sambungan Internet lebih kukuh.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri, mereka hanya menunggu perkhidmatan dipulihkan atau mengunjungi Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Nanga Ngungun untuk menggunakan perkhidmatan Wi-Fi percuma bagi melayari Internet.

“Wi-Fi tersedia 24 jam tetapi sambungan Internet sangat perlahan.

“Tambahan pula, bukan semua penghuni rumah panjang di sini adalah pengguna telefon pintar.

“Kebanyakan orang tua di sini masih menggunakan telefon bimbit model lama yang tidak mempunyai ciri melayari Internet. Mereka hanya boleh membuat panggilan keluar dan menerima panggilan serta menggunakan perkhidmatan SMS,” keluhnya.

Sementara itu, Timah Chendan, 52, berkata, gangguan perkhidmatan telekomunikasi itu menyukarkan beliau menghubungi anaknya yang menuntut di sebuah politeknik di Mukah.

“Dia selalunya WhatsApp kami untuk memaklumkan aktivitinya. Tetapi saya tidak dapat berhubung dengannya sejak lima hari lepas kerana masalah rangkaian di sini.

“Saya amat bimbang sekiranya dia kehabisan wang untuk membeli makanan atau membayar barangan yang dia perlukan untuk menyiapkan tugasannya.

“Gangguan perkhidmatan telekomunikasi bukanlah isu baharu di sini kerana ia berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Lebih menjengkelkan, pihak berkuasa berkenaan seperti tidak berusaha mencari penyelesaian bagi menyelesaikan sepenuhnya isu ini,” keluhnya.

Seorang lagi penduduk rumah panjang Roymartin Japing, 38, berkata, gangguan perkhidmatan itu menyukarkannya menghubungi ahli keluarganya bagi membincangkan urusan upacara ‘ngetas ulit’ untuk mendiang anak saudaranya pada Ahad.

“Apabila rangkaian tersedia, kami boleh menghubungi atau menghantar mesej antara satu sama lain.

“Tetapi tiga hari lalu adalah hari yang sibuk bagi saya. Saya perlu berulang-alik ke Nanga Poi bagi mendapatkan akses Internet yang baik untuk berbincang dengan mereka mengenai perkara yang diperlukan untuk majlis itu,” katanya.

Roymartin juga berkata, mereka sudah muak dengan alasan yang sama diberikan setiap kali masalah itu berulang dan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Apa yang saya dengar, menara telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan ke kawasan ini dipercayai dijana kuasa solar.

“Jadi apabila musim hujan, kita akan berdepan masalah sebegini.

“Jika itu berlaku, mengapa tidak menyambungkan menara ke bekalan kuasa utama kerana kita sudah disambungkan ke grid negeri,” soalnya.-UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *