Dunia

Penduduk kembali terima serangan selepas gencatan senjata sementara Israel-Hamas tamat

GAZA: Pesawat-pesawat pejuang Israel menggempur Gaza pada Jumaat selepas rundingan untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata sementara selama seminggu dengan Hamas gagal.

Serangan terbaharu Israel itu menyebabkan kematian dan kecederaan pada rakyat Palestin, memaksa beratus-ratus yang lain melarikan diri mencari tempat perlindungan.

Kawasan timur Khan Younis di selatan Gaza mengalami bedilan paling hebat apabila tarikh akhir gencatan senjata sementara tamat sejurus selepas subuh, dengan kepulan asap naik ke langit, kata wartawan Reuters di bandar itu.

Para penduduk turun ke jalan raya dengan barang-barang yang dipunggah ke dalam kereta atau kereta keldai, mencari tempat berteduh lebih jauh ke bahagian barat Gaza.

Di utara Gaza, yang sebelum ini merupakan zon perang utama, kepulan asap besar boleh dilihat di atas runtuhan, dari seberang pagar di Israel.

Semboyan dibunyikan di seluruh selatan Israel ketika Hamas melancarkan roket dari kawasan pantai ke bandar-bandar Israel. Menurut Hamas, serangan-serangan itu menyasarkan Tel Aviv, tetapi tiada kematian atau kerosakan dilaporkan di sana.

Menjelang petang, para pegawai kesihatan Gaza berkata serangan udara Israel telah mengorbankan 184 orang, mencederakan sekurang-kurangnya 589 yang lain dan memusnahkan lebih 20 rumah.

Israel dan Hamas saling menuduh satu sama lain merosakkan rundingan dan mencetuskan semula keganasan, dengan Rumah Putih menyalahkan Hamas, sambil menyatakan ia telah gagal menghasilkan senarai baharu tebusan untuk dibebaskan bagi membolehkan gencatan senjata sementara itu dilanjutkan.

Sumber: Reuters/AW/ae

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknewsofficial/

Tiktok: https://www.tiktok.com/@sarawaknews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *