Tempatan Penemuan Bangkai Buaya Seberat 300kg di Kampung Nyabut, Trombol

Penemuan Bangkai Buaya Seberat 300kg di Kampung Nyabut, Trombol

21

KUCHING: Pasukan Swift Wildlife Action Team (SWAT) SFC giat menjalankan usaha-usaha pemburuan buaya yang mengganas di beberapa lokasi termasuk di kawasan Trombol dan di daerah Lundu.

Usaha pemburuan dan penangkapan ini berhasil, apabila satu bangkai buaya jantan seberat 300 kilogram dengan kesan rahang yang patah, dipercayai telah mati tiga hari yang lalu ditemui di perairan Kampung Nyabut, Trombol petang tadi.

Selain itu, turut dijumpai adalah beberapa kepingan rangka manusia di dalam perut haiwan liar yang berukuran 15 kaki tersebut.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam kenyataan di laman facebooknya pada pada Ahad memberitahu kesemua pihak yang terlibat dalam operasi ini belum dapat mengesahkan serta mengenalpasti sama ada buaya yang ditemui ini merupakan buaya yang terlibat dalam insiden yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki pada 21 Mei 2022 yang lalu, sebelum keputusan DNA disahkan benar oleh pihak terbabit.

“SFC merupakan badan pengawal-selia yang diberi mandat kuasa di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, selain mempunyai kepakaran dalam tugasan hal-hal berkaitan buaya.

“Kami ingin turut mengingatkan kepada orang awam bahawa kerja-kerja pemburuan dan penangkapan buaya perlu diserahkan kepada SFC dan bukannya mengambil tindakan sendiri kerana ianya adalah merbahaya kepada pihak tersebut dan juga orang awam.

“Selain itu, kerja-kerja sebegini memerlukan lesen dan permit kerana haiwan ini adalah terlindung di bawah undang-undang,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, SFC akan meneruskan usaha dalam meningkatkan pemahaman para penduduk tentang perihal buaya menerusi ‘Program 3M Buaya’ di kesemua kawasan.

Program ini merupakan satu pendekatan yang diambil oleh SFC bagi membantu komuniti setempat untuk ‘Mengenali, Memahami dan Memulihara’ Buaya.

Program ini akan turut memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah untuk menangani konflik manusia dan buaya dengan lebih efisien, meningkatkan pemahaman tentang buaya dan pada masa yang sama memperkasakan keharmonian antara manusia serta buaya demi memastikan keselamatan penduduk setempat. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Previous articlePerbelanjaan isi rumah meningkat, rakyat terus terbeban
Next article1,021 terima darjah kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan Agong
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here