Nasional Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah pada 31 Mei ini

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah pada 31 Mei ini

9

BUKIT GANTANG: Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah dijadualkan pada 31 Mei ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata segala persiapan bagi urusan tersebut berjalan lancar dan pihaknya sedang menunggu jemaah menjawab surat tawaran yang dihantar Lembaga Tabung Haji (TH) pada 24 April lepas.

Dilaporkan kuota jemaah haji Malaysia adalah seramai 14,306 orang tahun ini.

Idris berkata jumlah jemaah yang akan menyertai penerbangan pertama dan terakhir sedang dibuat penjadualan semula oleh TH dan beliau menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan agensi tersebut untuk menguruskannya.

“Pihak TH sedang menunggu mungkin ada jemaah yang menolak tawaran dan TH akan memberikan keutamaan kepada jemaah yang lain,” katanya dan menambah pengurusan haji tahun ini agak mencabar namun yakin TH mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mengendalikannya.

Mengenai rayuan kuota haji, Idris berkata beliau akan membawa surat rayuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diserahkan kepada Raja Salman Abdulaziz dalam masa terdekat.

Selain itu, Idris berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa agama untuk membuat siasatan mengenai kes tokoh agama didakwa berjoget di kelab malam.

“Saya tidak berani komen kerana benda itu tak pasti. Biar pihak berkuasa siasat,” katanya ketika diminta pemberita mengulas klip video yang kononnya memaparkan seorang tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam.-BERNAMA

Previous articleHasrat beraya di rumah baharu tidak kesampaian
Next articleGPS bertegas tiada ruang untuk BERSATU, kesemua 31 kerusi untuk GPS pada PRU15 akan datang
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here