Tempatan Penetapan harga siling ayam & telur ayam bertujuan bantu rakyat

Penetapan harga siling ayam & telur ayam bertujuan bantu rakyat

19

KUCHING: Penetapan harga siling ayam dan telur ayam bermula 1 Julai lepas di pasaran dilaksanakan bagi membolehkan rakyat membeli sumber makanan penting itu di bawah harga sebenar.

Bagi peniaga ayam, Mulyadi Jerawi, beliau akur dengan keputusan kerajaan dengan menetapkan harga siling bagi jualan ayam dan telur kerana ia mengambilkira keadaan ekonomi semasa.

“Kita perlu akur dengan keputusan kerajaan ini kerana ia mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang belum stabil dan penetapan ini adalah bersifat sementara.

“Ini adalah bagi memberikan situasi yang sama rata kepada semua pihak termasuk peniaga dan pengguna.

“Bagi pembeli, mereka memang mahu barang jualan yang murah dan peniaga pula mahu keuntungan,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Sementara itu, bagi pembeli seperti Nurshamilya Amira, beliau melihat penetapan harga siling ayam dan telur ini adalah sebagai satu usaha kerajaan untuk membantu rakyat bagi mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup mereka.

“Pada pendapat saya, penetapan harga siling ayam dan telur yang ditetapkan oleh kerajaan ini adalah untuk kebaikan rakyat.

“Secara peribadinya, saya tidak mempunyai masalah dengan penetapan harga siling ini kerana bagi saya dunia sudah semakin maju jadi teknologi juga semakin berkembang dan sudah tentu harga barangan yang dijual di pasaran akan naik dan benda ini kita perlu tetapkan dalam fikiran kita dengan lebih awal untuk mengawal perbelanjaan kita,” ujarnya.

Manakala, pemilik Restoran Ayam Gepuk King Mohd Amran pula berkata, walaupun harga ayam dan telur mengalami kenaikan harga, restoran miliknya itu tetap mengekalkan harga jualan yang berasaskan ayam dan telur seperti yang ditetapkan dari dahulu.

“Setakat ini kami masih mengekalkan harga jualan yang asal seperti yang ditetapkan sebelum ini kerana kita perlu mengambil hati pelanggan dan bagi saya ini tidak membebankan sebenarnya.

“Tetapi, sekiranya sewa kedai ini mengalami kenaikan, mungkin kami terpaksa menaikkan harga jualan,” ujar beliau.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan, keputusan Jemaah Menteri menetapkan harga siling ayam dan telur dibuat dengan teliti demi kebaikan dan kesejahteraan semua peringkat rakyat dalam menghadapi masa sukar peningkatan kadar inflasi seluruh dunia yang turut melanda Malaysia.

Previous articleCadangan dokumen haharu MA63 tidak perlu & tidak masuk akal
Next articleHarga emas makin murah, terendah dalam 9 bulan
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here