KUALA LUMPUR: Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dibuat menerusi portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my atau aplikasi mudah alih i-Akaun bermula 1 April ini.
KWSP dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan permohonan untuk pengeluaran tersebut akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 hingga 20 April ini dengan bayaran akan dibuat pada 20 April.
“Pembayaran hanya akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun simpanan atau semasa ahli.
“Justeru, ahli perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan di bawah nama ahli sendiri,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memberitahu akaun bersama atau akaun yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan dan semakan status permohonan boleh dibuat bermula 9 April melalui portal yang sama.
Dalam pada itu, KWSP menjelaskan ahlinya yang ingin mengeluarkan simpanan digalakkan menyemak baki simpanan KWSP terlebih dahulu sama ada melalui i-Akaun atau Kios KWSP dan jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50.
“Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1.
“Ahli juga perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun mereka,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, KWSP mengingatkan Ahli agar mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka di masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu.
Pada 16 Mac lepas, Kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban rakyat Malaysia di bawah umur 55 tahun yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19 bermula 1 hingga 20 April ini.
Maklumat lanjut mengenai kemudahan pengeluaran khas tersebut boleh didapati melalui ‘Ask Elya’ dalam laman web KWSP atau menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di talian 03-89224848 bermula 1 April selain berjumpa dengan pegawai Khidmat Nasihat Ahli di cawangan KWSP seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.