Menarik Penggunaan nombor flat ‘fancy’ boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara

Penggunaan nombor flat ‘fancy’ boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara

9

SHAH ALAM: Individu atau pemilik kenderaan yang mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM2,000 dan penjara atau kedua-duanya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi di bawah Kaedah 6, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959 boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM250 atau boleh didakwa di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Pemilik berdaftar juga akan diambil tindakan dengan pengeluaran Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1).

“Mereka diberi masa selama sepuluh hari untuk hadir pemeriksaan di mana-mana JPJ berdekatan bagi memastikan kenderaan tersebut telah dibuat tindakan pembetulan dengan menukar nombor pendaftaran yang mengikuti spesifikasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Khairul, nombor pendaftaran kenderaan hendaklah dipamer mengikut saiz dibenarkan serta tidak menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’ yang boleh mengelirukan.

Dalam pada itu, JPJ Selangor telah melaksanakan Op Nombor Pendaftaran di Seksyen 15, di sini pada Jumaat.

Katanya, operasi bermula jam 8 malam telah mengambil tindakan ke atas 35 kenderaan membabitkan motosikal serta kereta persendirian mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ atau tidak mengikut spesifikasi.

“Penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya.

Katanya lagi, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.-SINAR HARIAN

Previous articleTimbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak bidas kenyataan Ahli Parlimen Sarikei
Next articleLaman web didakwa bocor data peribadi rakyat Malaysia
Sarawak News merupakan sebuah platform berita yang memaparkan berita, informasi dan maklumat mutakhir yang berlaku di Sarawak Bumi Kenyalang. Semestinya ianya benar, betul dan sahih hanya untuk rakyat Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here