SIBU: Pengunjung bazar Ramadan di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa II yang mula beroperasi pada 3 April nanti perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Bujang Abdul Majid berkata, pengunjung diwajibkan mengimbas kod QR MySejahtera sebelum dibenarkan masuk membeli juadah.
“Semua peraturan dan syarat memasuki bazar Ramadan harus dipatuhi sepenuhnya oleh pengunjung bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat.
“Ini kerana langkah pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati dan keselamatan pengunjung dan peniaga terjamin.
“Namun jika pengunjung dan peniaga tidak mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan, pihak berkuasa akan mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja pemasangan khemah peniaga di tapak bazar Ramadan di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa II, Sibu pada Ahad.
Pada tahun ini, Jawatankuasa Penjaja Bergerai Sibu menganjurkan Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa II.
Sementara itu, bagi pengerusi penganjur, Hanisah Hussin berkata, sebanyak 65 kanopi disediakan untuk bazar Ramadan di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II.
“Daripada 65 kanopi, 40 dikhaskan untuk makanan dan minuman dan 25 lagi makanan berpanggang,” ujarnya.
Kerja-kerja pemasangan khemah itu dijangka siap dalam tempoh dua hari.