KUCHING: Pengurusan di pusat khidmat bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan ditambah baik dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, pengurusan rekod pusat khidmat di setiap kawasan DUN adalah penting bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat dapat dilaksanakan.
Selain itu katanya, ia bertujuan mengenalpasti dan mengatasi setiap masalah yang wujud.
“Rekod bagi setiap projek yang dilakukan adalah penting. Sekiranya pengurusan rekod ini kita boleh diurus dengan baik, sudah tentu tiada masalah untuk menunaikan janji kepada rakyat,” katanya berucap semasa Majlis Pelancaran Projek Khas di Kuching pada Rabu.
Ketua Menteri turut menegaskan kepada setiap wakil rakyat untuk memastikan tatacara pengurusan pusat khidmat masing-masing selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam projek berkenaan.
“Sekarang kita sudah mempunyai buku mengenai garis panduan bagi pengurusan projek dan tatacara pengurusan pusat khidmat wakil rakyat supaya anda mengetahui Prosedur Operasi Standard yang perlu dipatuhi dari segi menguruskan projek,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan pelantikan ADUN Satok, Dato’ Ibrahim Baki sebagai Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, barisan menteri-menteri dan ADUN GPS. – SN