Tempatan

Peniaga bazar duta gastronomi dalam menampilkan makanan Sarawak

KUCHING: Para peniaga di Bazar Ramadan Stutong merupakan salah satu duta gastronomi bagi bandar ini dalam menampilkan juadah makanan Sarawak yang pelbagai dan unik.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peniaga di bazar ini mampu memperkenalkan serta menonjolkan makanan yang terdapat di negeri ini kepada para pelancong khususnya dari luar negara.

“Peniaga di sini dapat mengambil peluang untuk mempamerkan keenakan makanan di Sarawak dan memperkenalkan keistimewaan serta keunikan Sarawak ke mata dunia.

“Selari dengan pengiktirafan bandar Kreatif Gastronomi yang diberikan kepada Sarawak pada tahun 2021, rakyat kita dapat memperkenalkan makanan tradisional dan tempatan kepada pelancong-pelancong dari luar negara ketika berkunjung ke Sarawak.

“Kita perlu berasa bangga kerana Kuching sekarang berdiri setanding dengan 36 Bandar di seluruh dunia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibaca Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni ketika merasmikan Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) 2023 di pasar Stutong, di sini, hari ini.

Tambahnya, selain menonjolkan keistimewaan makanan yang ada di Sarawak kepada pelancong, ia juga dapat meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing.

Susulan itu, beliau mengingatkan agar para peniaga sentiasa mementingkan kebersihan ketika menjalankan perniagaan.-SUARA SARAWAK

Exit mobile version