SIMUNJAN: Pentadbiran Kerajaan Sarawak di peringkat akar umbi akan diperkemas dan diperkuatkan untuk melaksana projek pembangunan akan datang.
Perkara ini dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pegawai Daerah Simunjan, Pegawai Daerah Gedong dan Pegawai Daerah Sebuyau di Pejabat Daerah Simunjan pada Khamis.
Katanya lagi, perkhidmatan kepada rakyat juga akan diperluas dan dipertingkatkan bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Sarawak selaras dengan arah tuju yang telah dirancang melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Ke arah itu, pelbagai program telah dirancang dan tumpuan diberikan kepada rakyat di peringkat daerah, daerah kecil dan bahagian.
“Dalam perancangan PCDS 2030, kita ingin Sarawak mempunyai pertumbuhan yang sangat pesat untuk mencapai status negeri maju pada tahun 2030.
“Projek-projek ini telah dirancang di dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) dan RMK13. Begitu juga kita akan memberi tumpuan kepada pembangunan lestari,” katanya.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Ik Pahon Joyik, Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Datu Ismail Mohamad Hanis dan Residen Bahagian Samarahan Brahim Lumpu.