Tempatan

Penubuhan Lembaga Pembangunan Sago dan Nipah Suatu Keputusan Tepat & Betul

MUKAH: Keputusan Kerajaan Sarawak menubuhkan Lembaga Pembangunan Sago dan Nipah baru-baru ini merupakan suatu keputusan yang tepat dan betul.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, keputusan ini sudah pastinya akan membangunkan kedua-dua tanaman tersebut sekaligus meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan pada masa depan.

“Minggu lepas saya telah mendapat maklumat daripada sains yang mengatakan bahawa ‘Carbon Storage’ di kawasan jalan utama di Sarawak yang mempunyai tiga kali ganda penyimpanan daripada pokok-pokok lain. Ini satu pembaharuan dalam bidang sains.

“Sebab itu, saya nampak bahawa penubuhan Lembaga Pembangunan Sago dan Nipah suatu yang tepat dab betul dan, Oya dan Dalat adalah pusat kajian untuk industri yang baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Galeri Warisan Melanau, Oya di Dataran Oya pada Sabtu.

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, Lembaga Pembangunan Sago dan Nipah ini nanti akan membangunkan ekonomi kawasan luar bandar pada masa akan datang.

Pada majlis sama, beliau turut meluluskan permohonan Projek Rakyat di kawasan DUN Dalat ini antaranya pembinaan Galeri Warisan Melanau Fasa 2 yang bernilai RM5.5 juta, Waterfront Oya bernilai RM23.8 juta dan Kompleks Mini Kerajaan bernilai RM34 juta.

Kesemua projek pembangunan ini nanti akan mengubah landskap Oya menjadi kawasan yang membangun dalam jangka masa panjang.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Datu Dr Adi Badiozaman Tuah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita,  Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak) Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi, ADUN Telian Royston Valentine, ADUN Daro Safiee Ahmad dan Pemangku Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili.

Terdahulu, kehadiran Premier Sarawak telah disambut oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan dipersembahkan seni mempertahankan diri oleh 20 orang pesilat dari Kumpulan Seni Silat Tapak Helang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya sebelum merasmikan Galeri Warisan Melanau Oya serta melihat sendiri sejarah kaum Melanau yang dipamerkan di galeri tersebut.

Galeri Warisan Melanau, Oya Galeri Warisan Melanau, Oya ini merupakan usaha untuk mengetengahkan budaya dan warisan Kaum Melanau terutamanya dari kawasan Daerah Dalat dan Daerah Kecil Oya.

Galeri Warisan Melanau, Oya ini terdiri dari dua bahagian utama iaitu Galeri 1 dan Galeri 2 di mana Galeri 1 memaparkan sejarah awal penempatan di Oya serta mempamerkan artifak-artifak yang berkaitan dengan budaya dan warisan masyarakat Melanau Dalat dan Oya.

Artifak-artifak ini merupakan koleksi warisan yang disumbangkan oleh individu di kawasan Dalat dan Oya.

Manakala Galeri 2 pula akan mempamerkan tentang ekonomi, amalan kebudayaan, tempat-tempat menarik dan tokoh-tokoh tempatan Masyarakat Melanau.  

Galeri Warisan Melanau, Oya ini turut menyediakan pakaian tradisional untuk kegunaan para pengunjung mengambil gambar sebagai kenangan.

Selepas itu, beliau melawat tapak Pameran Pembangunan DUN Dalat yang disertai beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang mengetengahkan pembangunan Bahagian Mukah selain memperkenalkan produk tempatan di Gelanggang Bola Keranjang SJKC Yak Tee. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *