KUCHING: Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, Muhammad Abal Hakim Abal Mukam akan mewakili Malaysia dalam Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship di Orlando, Amerika Syarikat pada 28 Julai hingga 3 Ogos 2023.
Abal, 19 tahun, yang berasal dari Kampung Gadong, Beaufort, Sabah berkata, pihaknya telah meletakkan banyak usaha dan perjuangan untuk dapat menyertai kejohanan berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah saya Mohamad Hafiz Hasan dan TS Madeleine Elna Perreau kerana mereka telah banyak membantu saya dalam banyak perkara mengenai pertandingan ini,” katanya ketika ditemui wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum berangkat ke Kuala Lumpur pada Selasa.
Hadir sama ialah Ketua Pusat Pengajian Seni Lukis, Seni Reka, Seni Bina, Perancangan dan Ukur UiTM Sarawak Sr Dr Asmah Alia Mohd Bohari dan Penyelaras Program Seni Reka Grafik dan Media Baru Celement Jimel.
Ujarnya lagi, menjadi harapan besarnya juga untuk untuk membawa nama Malaysia dan UiTM agar dikenali di mata dunia.
Abal mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut susulan kemenangannya di tempat kedua dan People’s Choice Award dalam pertandingan CC’s Adobe Certified Professional Malaysia National Championship 2023 di CCEC yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Jun lepas.
Pusingan akhir kejohanan dunia di Orlando nanti akan mengumpulkan semua juara serantau untuk bersaing dalam cabaran reka bentuk akhir.
Pelajar akan menggunakan Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Adobe InDesign (atau gabungan ketiga-tiga pilihan mereka) untuk menyelesaikan cabaran reka bentuk pertandingan.
Muhd Abal telah mendapat insentif dari pihak kerajaan negeri Sabah dan UiTM akan berangkat dari Kuala Lumpur (KLIA1) pada Khamis, 27 Julai 2023 dan akan dijangka kembali ke tanah air pada Jumaat, 4 Ogos 2023.