KUCHING: Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 14 Mac ini hingga Mei depan, berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata fasa tersebut akan menyebabkan negara menerima tiupan angin dari pelbagai arah sehingga berlakunya ribut.
“Penerimaan angin tersebut diramal akan menyebabkan kejadian ribut petir kerana membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian tersebut dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak pada petang dan awal malam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, fasa peralihan ini juga sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 3 November lalu.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada sepanjang tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia melalui laman web dan media sosial rasmi serta aplikasi mobil myCuaca.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Dalam pada itu, Helmi juga sempat mengulas sedikit kepada Berita Harian berkaitan dakwaan ramalan cuaca di lapangan terbang yang lebih tepat berbanding kaji cuaca umum dikeluarkan METMalaysia.
“Ramalan cuaca di lapangan terbang adalah untuk kawasan terhad dan merangkumi maklumat terperinci serta elemen cuaca bukan sekadar hujan, ribut petir dan lain-lain berbanding ramalan cuaca umum.
“Walapun demikian, data
dan pencerapan yang digunakan bagi penyediaan ramalan cuaca di lapangan terbang dan umum adalah sama,” katanya.
Namun jelasnya, ramalan cuaca di lapangan terbang menggunakan kaedah kod tertentu untuk meringkaskan dan hanya operator penerbangan yang sudah dilatih memahaminya.
Bagi ramalan cuaca umum pula, ia diterjemahkan dalam bentuk mudah agar dapat difahami orang awam.
Beliau turut memberitahu bahawa ramalan cuaca di lapangan terbang tidak digunakan kepada umum kerana ramalan cuaca di lokaliti berkeluasan terhad tidak menggambarkan keadaan cuaca sebenar merangkumi kawasan lebih luas seperti daerah, negeri atau negara.