KUCHING: Kenaikan harga bahan mentah di pasaran telah memberi kebimbangan dan merunsingkan pengusaha dan peniaga kek lapis Sarawak di negeri ini.
Ini kerana bahan mentah seperti telur, minyak masak, tepung, susu dan sebagainya merupakan bahan utama kepada pembuatan kek lapis Sarawak.
Bagi pengusaha kek lapis Sarawak Abu Amir Suparno, kenaikan harga bahan mentah di pasaran telah memberi kesukaran kepada perniagaannya.
Justeru, kata pemilik D’Atirah Kek Lapis itu, beliau bersetuju dengan tindakan Pengerusi Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak Zubaidah Sahadar yang bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pembekal bahan kek dalam masa terdekat ini.
“Perkara ini sememangnya perlu dibincangkan bagi mengawal barang mentah seperti susu, gula tepung dan lain-lain lagi naik kerana sekarang ini bahan mentah naik mendadak.
“Kenaikan harga barang ini memang memberi kesukaran bagi kami pengusaha kek lapis seperti kami kerana perlu menaikkan harga produk jualan kami.
“Sebelum ini, biasanya harga kek lapis yang dijual oleh kami adalah RM10 sebuku namun sekarang ini saya perlu menaikkan harga jualan kepada RM12,” katanya ketika ditemui kru Sarawak News pada Jumaat.
Manakala, peniaga kek lapis, Nurfatihah Pekan, beliau turut mengakui amat terkesan dengan kenaikan harga barangan mentah untuk membuat kek lapis ketika ini.
Pemilik Fatihah Kek Lapis itu berkata, beliau masih dalam dilema sama ada untuk memastikan produk kek lapisnya it terus kekal menjadi pilihan pengguna.
“Antara yang saya mungkin akan buat ialah mengekalkan harga dan mengubah saiz yang biasa jual sebelum ini kepada saiz yang lebih kecil sedikit atau sekiranya kami mengekalkan saiz, mungkin kami akan menaikkan harga,”jelasnya lagi.
Sementara itu, kenaikan harga Kek Lapis Sarawak tidak menghalang pembeli seperti Wan Addyana untuk terus mendapatkan Kek Lapis Sarawak yang sememangnya merupakan kewajipan baginya untuk membawa balik ke negerinya.
“Saya memang akan teruskan pembelian Kek Lapis Sarawak kerana ia adalah salah satu keunikan di Sarawak yang wajib saya bawa balik untuk keluarga di kampung, tetapi mungkin kuantiti pembelian saya tidak akan sama seperti yang saya beli seperti sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, suatu tindakan proaktif wajar diambil bagi memastikan produk popular Sarawak ini akan terus mendapat sambutan daripada pengguna dengan memastikan harganya mampu milik dan membolehkan situasi menang-menang di antara pengusaha, penjual dan pengguna.